PETALING JAYA: Penasihat Kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Datuk Seri Dr Hasmiza Othman sedang mempertimbangkan penubuhan jawatankuasa khas bagi memantau disiplin pemain supaya lebih fokus memantapkan corak permainan masing-masing sepanjang musim ini. Menurut usahawan kosmetik terkemuka negara itu, beliau akan melantik enam individu berpengalaman dalam arena bola sepak tanah air untuk menganggotai jawatankuasa tersebut. "Jawatankuasa ini akan bertindak sebagai badan bebas dan enam individu yang dilantik nanti akan menjadi mata-mata kepada Kafa. Buat masa ini disiplin pemain dalam keadaan 'tip top', tiada masalah. "Bagaimanapun penubuhan jawatankuasa ini sebagai langkah awal untuk mengelak masalah disiplin berlaku pada masa akan datang. Jadi saya fikir lebih baik lakukan sesuatu sebelum terlambat," katanya kepada mStar Online. Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida berkata penubuhan jawatankuasa khas itu turut bertujuan membantu Kafa mengurus pasukan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) menjadi skuad yang digeruni pada musim ini. "Saya tiada niat untuk mencampuri urusan pentadbiran Kafa tapi ini adalah idea yang diharap dapat membantu memantapkan skuad PQPTRW musim ini," katanya. Jelas beliau lagi, jawatankuasa ini akan memastikan setiap pemain hadir sesi latihan tepat pada waktunya dan menghadiri setiap aktiviti yang diwajibkan kepada mereka. "Jadi setiap pergerakan pemain akan kita ketahui. Ini penting untuk memastikan pemain betul-betul fokus untuk memperbaiki kelemahan diri dalam usaha memburu tiga piala musim ini," katanya. Malah, beliau meminta pemain supaya tidak terlalu selesa dengan keadaan sekarang dan perlu menunjukkan komitmen serta disiplin tinggi ketika di padang. "Sekarang tiada lagi masalah gaji, jadi setiap pemain tidak perlu bimbang. Mereka hanya perlu fokus main bola sahaja dan sentiasa ada sikap mahu menang dalam setiap perlawanan," katanya. Mengulas lanjut mengenai penubuhan jawatankuasa tersebut, Vida berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Kafa pada Selasa ini bagi membincangkan perkara itu. "Saya akan umum secara terperinci mengenai jawatankuasa khas itu selepas pertemuan dengan Kafa pada Selasa," katanya. Terdahulu, Kelantan sekadar berkongsi mata dengan tuan rumah Perak selepas terikat seri 0-0 pada aksi pembuka tirai Liga Super malam Sabtu. Walaupun pasukan tajaannya hanya seri tanpa jaringan, Vida tetap berpuas hati dengan keputusan tersebut. "Keputusan itu boleh dianggap sebagai satu kebanggaan kepada pasukan ini kerana sekurang-kurangnya kita tidak kalah di gelanggang lawan," katanya.