MATHIEU Debuchy mengakui marah dengan pengurus Arsene Wenger yang menyekat perpindahannya ke Manchester United sebelum tarikh akhir jendela perpindahan pada Januari lalu. Malah, Debuchy menyifatkan peluangnya untuk tersenarai dalam skuad utama di Emirates Stadium terhalang selepas kemunculan Hector Bellerin. Susulan itu pemain berusia 30 tahun berkenaan menyertai Bordeaux secara pinjaman sehingga hujung musim sejak Januari lalu. Beberapa kelab Liga Perdana Inggeris berminat untuk mendapatkan khidmat Debuchy termasuk Aston Villa dan Manchester United. Namun pengurus Arsenal Arsene Wenger tidak membenarkan perpindahan Debuchy ke United yang dianggap sebagai seteru utama pasukan itu. "Saya amat kecewa. Jika saya diberi peluang untuk ke Old Trafford, ia pasti mengagumkan. "Malangnya itu bukan masalah. Saya turut berbincang dengan Wenger yang berkata saya tidak boleh membantu musuh utama pasukan. "Ya, saya marah dengan Wenger tapi itu keputusannya," kata Debuchy. Bekas pemain Lille itu yang melakukan 27 penampilan bersama skuad kebangsaan Perancis menyertai Newcastle United dari Lille pada 2013. Pada 2014 Debuchy berpindah ke Arsenal dengan kontrak bernilai 12 juta pound (RM72 juta).