suria

Piala FA: Misi Arsenal Mara Ke Suku Akhir Terbantut

Pemain Arsenal Olivier Giroud (tengah) menanduk bola semasa bertemu Hull City di Stadium Emirates, malam Sabtu.

LONDON: Misi Arsenal untuk memburu kejuaraan Piala FA ketiga berturut-turut terbantut seketika selepas diikat tanpa jaringan oleh Hull City dalam pusingan kelima di Stadium Emirates, malam Sabtu.

Keputusan seri itu menyebabkan kedua-dua pasukan perlu mengharungi perlawanan ulangan.

Anak buah pengurus Arsene Wenger itu turut memburu gelaran sebagai pasukan pertama selepas Blackburn Rovers memenangi piala tersebut buat kali ketiga berturut-turut pada tahun 1886.

West Bromwich Albion pula tersingkir apabila dikejutkan oleh kelab divisyen dua, Reading 3-1.

Semasa perlawanan itu, kapten West Brom, Chris Brunt dibaling dengan duit syiling yang hampir mengenai matanya.

West Brom bermula dengan baik di Stadium Madejski apabila Darren Fletcher membuka jaringan pada minit ke-54.

Namun Reading, yang tumpas pada peringkat separuh akhir musim lalu bangkit dengan tiga gol menerusi Paul McShane, Michael Hector, dan Lucas Piazon yang dipinjamkan Chelsea.

Brunt yang menuju ke arah penyokong West Brom untuk memberi tepukan kepada mereka, sebaliknya dibaling dengan duit syiling.

Dua lagi pasukan Liga Perdana Inggeris, Everton dan Watford menempah tiket ke suku akhir selepas menewaskan Bournemouth dan Leeds.

Rembatan Ross Barkley dan jaringan jarak dekat Romelu Lukaku pada babak kedua memberikan Everton kemenangan 2-0 di Bournemouth, yang menyaksikan penalti tuan rumah pada babak pertama diselamatkan.

Watford pula menang tipis ke atas pasukan Divisyen Dua, Leeds 1-0, apabila Scott Wootton tertampan bola ke gawang sendiri ketika cuba mengeluarkan hantaran silang lawan. 


Arsenal, Piala FA

Artikel Sebelum

Keputusan La Liga

Artikel Lain