RIO DE JANEIRO: Pemain nombor lima dunia, Rafael Nadal terpaksa pulang lebih awal dari Terbuka ATP Rio selepas tewas 6-7 (6/8), 7-6 (7/3), 6-4 kepada pemain ranking ke-45 dunia, Pablo Cuevas pada separuh akhir, pagi Ahad. Kemenangan Cuevas itu sekali gus menafikan impian Nadal untuk melengkapkan penampilan ke-100nya di pentas final ATP. Pemain Uruguay itu menewaskan juara 14 kali Grand Slam itu dalam tempoh tiga jam 28 minit. Cuevas akan menentang pemain ranking ke-71 dunia, Guido Pella yang sebelum itu menewaskan pilihan kelima dari Austria, Dominic Thiem 6-1, 6-4. "Saya sangat gembira kerana Rafa adalah seorang pemain tenis yang hebat. "Saya memasuki gelanggang dengan hasrat mahu mencari kemenangan dan saya tahu yang saya perlu kekal tenang, sesuatu yang saya mampu lakukan pada hampir keseluruhan perlawanan," kata Cuevas. Sementara itu, pertembungan antara Pella dan Thiem diganggu angin kencang pada set pertama sebelum perlawanan terpaksa ditunda hampir sejam kerana hujan lebat. Namun tumpuan pemain kelahiran Argentina itu tidak sedikitpun terganggu. "Set pertama sangat sukar tetapi saya dibesarkan di kawasan yang mempunyai tiupan angin seperti ini dan lebih teruk lagi. "Jadi saya sudah biasa dengan keadaan sebegini," kata Pella yang membesar di Bahia Blanca.