PENYOKONG pasukan bola sepak yang beraksi dalam Liga Malaysia disaran mencalonkan skuad masing-masing bagi merebut Anugerah Pilihan Online 2016 (APO2016). APO2016 dianjurkan bersama oleh portal berita mStar Online dan saluran radio, Suria FM bagi memberi peluang kepada orang ramai memilih penerima anugerah yang layak secara telus. Anugerah online yang pertama kali dianjurkan itu ditaja oleh produk kosmetik terkenal, Dnars. APO bertujuan mengiktiraf personaliti–personaliti tanah air merangkumi bidang hiburan, sukan, fesyen dan mereka yang terlibat dalam perniagaan. Tidak dilupakan mereka yang menonjol dalam profesion masing-masing. Ia juga bertujuan untuk mengetengahkan mereka yang aktif menggunakan kelebihan alam siber dan media sosial. Berikutan itu, penyokong pasukan bola sepak disaran mencalonkan skuad masing-masing untuk memastikan pasukan kesayangan mereka dianugerahkan sebagai Pasukan Sukan Pilihan Online serta Bintang Sukan Lelaki Pilihan Online. APO2016 menyenaraikan 18 kategori membabitkan sembilan dalam bidang hiburan, tiga kategori sukan dan lima lagi kategori gaya hidup. Setiap pencalonan perlu dibuat di laman web tersebut http://apo.mstar.com.my/utama.aspx atau https://www.facebook.com/AnugerahPilihanOnline