suria

Saingan Chong Wei Sukar Diramal - Hendrawan

Lee Chong Wei.

KUALA LUMPUR: Saingan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang sukar diramal adalah faktor utama kekalahan mengejutnya di pusingan pertama Kejohanan Seluruh England awal pagi Khamis waktu tempatan.

Jurulatih perseorangan negara, Hendrawan berkata, secara realistik kekalahan Chong Wei adalah wajar kerana pesaingnya itu mempamerkan kualiti permainan yang luar biasa.

Chong Wei yang juga pilihan kedua tersingkir awal pada kejohanan itu selepas tewas dalam pertembungan sengit menentang B.Sai Praneeth dari India 22-24, 20-22 di Barclaycard Arena, Birmingham.

"Kekalahan hari ini saya kira wajar, kerana penampilan Sai Praneth bagus. Dia bermain tanpa tekanan sehingga kualiti permainannya luar biasa.

"Seperti yang saya katakan sejak awal, perlawanan pusingan pertama memang sangat penting kerana tidak semua pemain boleh bermain dengan bagus. Hari ini saya lihat Chong Wei belum dapat mengeluarkan semua kemampuannya," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Chong Wei pernah merangkul kejuaraan Seluruh England sebanyak tiga kali iaitu pada 2010, 2011 dan 2014.

Hendrawan berkata, kekalahan Chong Wei itu tidak akan menjejaskan fokus pemain nombor dua dunia itu di Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil nanti.

Menurutnya buat masa ini, Chong Wei tidak mahu diganggu kerana masih terkesan dengan kekalahan mengejut itu.

"Sekarang Chong Wei masih sedih dengan kekalahan di sini. Beri dia masa untuk rehat dua atau tiga hari, nanti saya akan bincang lagi dengannya," katanya.

Menurut laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Chong Wei berkata, beliau tidak menyangka akan tersingkir awal pada kejohanan itu.

"Ia adalah sesuatu yang di luar jangkaan. Saya ke mari untuk menang. Praneeth menunjukkan peningkatan yang ketara sejak kali terakhir menentangnya di Terbuka Kanada tahun lepas. 

"Dia mempunyai masa depan yang cerah," kata Chong Wei yang dipetik di laman web rasmi BWF. - Bernama

Lee Chong Wei

Artikel Lain