LONDON: Bekas pengurus Liverpool, Rafael Benitez kembali ke kancah bola sepak Liga Perdana Inggeris, malam Jumaat apabila dilantik sebagai pengurus baharu Newcastle United. Benitez kini menggalas tanggungjawab berat untuk menyelamatkan Newcastle daripada tersingkir pada liga divisyen dua musim depan. Pengendali dari Sepanyol yang dipecat Real Madrid awal musim ini, menandatangani kontrak tiga tahun bersama Newcastle. Newcastle kini menduduki tangga kedua tercorot liga dengan baki hanya 10 perlawanan yang perlu diharungi. Pelantikannya diumumkan hanya beberapa jam selepas Newcastle mengesahkan mereka memecat pengendali sebelumnya, Steve McClaren. "Saya berbesar hati untuk mengesahkan yang saya komited terhadap kelab legenda Inggeris, dengan cabaran besar menanti pada baki saingan Liga Perdana Inggeris. "Ia adalah cabaran bukan saja buat saya dan barisan kejurulatihan, tetapi juga buat pemain, kelab dan peminat-peminat," kata Benitez.