KUALA LUMPUR: Bekas juara All England 2007, Koo Kien Kiat/Tan Boon Heong melakar kejutan selepas menundukkan pasangan beregu lelaki nombor dua dunia, Mohammad Ahsan/Hendra Setiawan dari Indonesia pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Siri Super Premier di Barclaycard Arena di Birmingham, England pada Jumaat. Pasangan bukan pilihan itu mempamerkan aksi cemerlang untuk mencatatkan kemenangan 21-15, 15-21 dan 21-17 dalam perlawanan yang berlarutan selama 49 minit, menurut laman sesawang kejohanan;www.allenglandbadminton.com. Koo/Tan yang juga muncul sebagai naib johan dalam edisi 2011 akan bertemu sama ada rakan sepasukan, Goh V Shem/Tan Wee Kiong atau pilihan kelima, Chai Biao/Hong Wei dari China pada suku akhir. Perlawanan antara kedua-dua pasangan dijadualkan berlangsung kir-kira 4 petang Khamis waktu tempatan (2 pagi, Jumaat waktu Malaysia). Cabaran negara dalam tiga lagi acara -- perseorangan lelaki, perseorangan wanita dan beregu campuran berakhir selepas semua pemain tumpas kepada lawan masing-masing dalam aksi pembukaan pada Rabu. Malaysia tidak menghantar wakil dalam acara beregu wanita kejohanan itu yang menawarkan hadiah berjumlah US$550,000 (RM2.263 juta).