suria

Vida Bakal Bertemu CR7, Tinjau Stadium Real Madrid

Cristiano Ronaldo.

PETALING JAYA: Pengasas kosmetik kecantikan Qu Puteh, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman menyifatkan kunjungannya ke Madrid, Sepanyol pada Isnin akan lebih bermakna sekiranya berpeluang bertemu bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo.

Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida berkata beliau sudah meminta bantuan ejen untuk mengatur pertemuannya dengan pemain terbaik dunia tiga kali itu.

"Saya harap-haraplah dapat jumpa Cristiano Ronaldo, CR7. Saya dah suruh ejen atur (pertemuan) tapi tak tahulah. Jika ada rezeki jumpalah nanti," katanya kepada mStar Online.

Vida berlepas ke Madrid pada awal pagi Isnin untuk meninjau Stadium Santiago Bernabeu, milik pasukan gergasi Sepanyol, Real Madrid.

Lawatan tersebut bertujuan untuk mendapatkan idea berkaitan reka bentuk dalaman stadium berkenaan untuk diaplikasikan pada Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Baru, Kelantan.

Selain itu, lawatan berkenaan juga sebagai memenuhi permintaan anak perempuannya, Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin yang amat meminati Ronaldo.

"Anak ketiga saya (Nur Edlynn) antara peminat fanatik Ronaldo. Jika pertemuan itu berjaya diatur, ia pastinya menjadi memori paling indah dalam hidupnya," kata Vida.

Mengikut jadual, Real Madrid akan bertemu Las Palmas pada aksi La Liga di Stadium Gran Canaria, Sepanyol, awal pagi Selasa.

Jika berkesempatan, Vida berharap agar dapat bertemu Ronaldo selepas perlawanan tersebut memandangkan beliau akan berada di Madrid sehingga Rabu ini.

Sebelum ini, pemilik kelab bola sepak Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) berkesempatan bertemu Ronaldo ketika mengadakan sesi lawatan ke pusat latihan kelab Sepanyol itu, baru-baru ini.

Foto istimewa tersebut dikongsikan menerusi laman Facebook Johor Southern Tigers.

Malah, Vida yang juga penaja utama pasukan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) turut akan berkunjung ke Stadium Old Trafford pada 22 Mac ini.

Kunjungan itu diadakan demi memperincikan sentuhan terakhir pada wajah baharu stadium keramat PQPTRW yang diharap akan menjadi mercu tanda Kelantan.




Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan La Liga

Artikel Lain