suria

#APO2016: Fatehah Manfaat Cuti Jaga Bapa

Fatehah Mustapa.

PETALING JAYA: Meskipun berasa lega kerana berjaya mengesahkan tiket ke Olimpik Rio menerusi acara pecut individu, namun masih ada resah yang membelenggu pelumba berbasikal trek negara, Fatehah Mustapa.

Fatehah bimbang mengenai keadaan kesihatan bapanya, Mustapa Kassim yang mengalami sakit buah pinggang sejak tiga bulan lalu.

Justeru, pelumba kelahiran Hulu Terengganu itu mahu memanfaat tempoh cuti sehingga 2 April depan dengan menjaga bapanya yang kini sedang menjalani rawatan di Hospital Kuala Terengganu.

"Saya cuba memanfaatkan tempoh cuti ini untuk menjaga dia memandangkan saya tidak selalu dapat berada di sisinya sebelum ini.

"Walaupun sekejap tapi sekurang-kurangnya ia berbaloi kerana saya dapat melihat bapa saya di depan mata, lagipun keadaan dia sekarang agak lemah," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Fatehah, 26, adalah antara calon kategori Atlet Wanita Pilihan Online menerusi Anugerah Pilihan Online 2016 (APO 2016).

Menurutnya, selepas seminggu berada di kampung halaman, dia akan kembali ke Kuala Lumpur untuk menjalani latihan bersama rakan pasukan.

"Saya akan ulang alik dari kampung ke Kuala Lumpur dalam minggu depan. Saya akan kembali berlatih dan pulang semula ke kampung sebelum balik ke Melbourne pada 2 April ini," katanya.

Fatehah berkata, beliau banyak terlepas beberapa sesi latihan sebelum ini kerana terpaksa balik ke Terengganu untuk menjenguk bapanya yang mengalami penyakit tersebut sejak tiga bulan lalu.

"Semasa saya di Jepun tempoh hari, saya terpaksa ambil cuti, balik ke kampung sebab ayah tak berapa sihat. Jadi saya tinggalkan lagi latihan," katanya.

Beliau berkata disebabkan terlepas beberapa siri latihan tumpuan pada aksi Kejuaraan Dunia di London sedikit terganggu.

Namun, Fatehah berazam untuk memperbaiki catatan terbaiknya pada Kejuaraan Dunia di London awal bulan ini.

"Saya akan berusaha untuk memperbaiki pretasi sebelum ke Rio Ogos ini. Saya masih ada tempoh lima bulan lagi untuk memulihkan kecederaan belakang yang belum pulih sepenuhnya," kata Fatehah.

Tempat Fatehah ke Sukan Olimpik 2016 adalah terjamin bagi mengisi dua slot bagi benua Asia bersama Lee Wai Sze dari Hong Kong berdasarkan keputusan ujian kelayakan bagi acara pecut.

Mengenai saingannya dalam APO 2016, Fatehah berkata, beliau tidak menduga namanya terpilih dalam senarai awal calon bagi kategori Atlet Wanita Pilihan Online.

"Saya terkejut apabila dimaklumkan mengenai perkara ini. Apa-apapun terima kasih kepada mereka yang sentiasa menyokong saya dan juga pasukan berbasikal trek negara, terima kasih sekali lagi," katanya.

Orang ramai yang ingin mencalonkan artis atau selebriti pilihan mereka boleh melayari laman web khas iaitu  http://apo.mstar.com.my.

APO2016 dianjurkan bersama mStar Online dan Suria FM dan dihebatkan oleh Dnars sebagai penaja rasmi.

Ia akan disiarkan secara langsung pada 30 April depan menerusi TV2 pada pukul 9 malam bertemakan Glam Digital.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan La Liga

Artikel Lain