suria

Vida Ke Madrid Intai Pemain Sepanyol, Risik Calon Argentina

Vida bersama keluarga di KLIA sebelum berlepas ke Madrid pada awal pagi Isnin.

MADRID: Agenda tiga dalam satu diatur penaja utama Kelantan, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman yang ketika ini berada di Madrid, Sepanyol bagi memantapkan pasukan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW).

Selain meninjau Stadium Santiago Bernabeu milik pasukan terkemuka dunia, Real Madrid dan berhasrat bertemu pemain sensasinya, Cristiano Ronaldo pada petang Selasa, jutawan kosmetik ini juga dalam proses 'mengintai' pemain negara itu untuk skuad Kijang.

"Saya sudah dimaklumkan oleh beberapa ejen yang dilantik bahawa terdapat beberapa pemain berkualiti dari Sepanyol dan Argentina sedia untuk dirisik.

"Jadi dah alang-alang datang ke sini, saya akan turut mengintai beberapa pemain import kategori gred C yang berkualiti dan harganya berbaloi untuk dibayar," katanya kepada mStar Online pada malam Isnin.

Kelantan kini memiliki empat pemain import termasuk bekas penjaring terbanyak Liga Super 2015 Dramane Traore dari Mali, selain Blazhe Ilijoski (Yugoslavia), Jonathan Mckain (Australia) dan Jonatan Lucca (Brazil). 

Namun Vida tidak berpuas hati dengan prestasi pemain import Kelantan selepas mengharungi lima perlawanan liga selain tersingkir awal dalam saingan Piala FA.

Justeru anak kelahiran Kelantan itu kini lebih berhati-hati dalam soal pemilihan pemain import kerana tidak mahu kesilapan sama dilakukan apabila pintu perpindahan dibuka semula Jun nanti.

"Walaupun sekadar pemain gred C tapi yang penting kualiti yang ada pada pemain itu penting kerana ia akan mencongak kedudukan PQPTRW musim ini.

"Kita tak nak bayar mahal tapi main tak seberapa. Ia pastinya akan menjejaskan pasukan. Biarlah pembelian itu berbaloi dengan wang yang dilaburkan," katanya.

Ketika ditanya sama ada kedudukan pemain import sedia ada akan disingkirkan, Vida sekadar berkata beliau mahu melihat keempat-empat pemain import Kelantan itu mempamerkan prestasi sebenar mereka.

"Saya mahu mereka buktikan kepada saya bahawa kualiti yang ada pada mereka membolehkan mereka dikekalkan di dalam skuad. Jika sebaliknya berlaku saya kenalah lakukan sesuatu kerana mereka ini membawa nama PQPTRW," katanya.

Pada masa sama, beliau menegasakan tidak akan membawa masuk penyerang PDRM Ashfaq Ali dan  pemain import Kedah Liridon Krasniqi menyertai skuad Kijang ketika jendela perpindahan pemain dibuka semula 20 Jun hingga 15 Julai ini kerana tidak mahu timbul isu 'rembat'.

Mengakui mengagumi kelincahan kedua-dua pemain import itu, katanya, ciri-ciri pemain berkualiti seperti mereka diperlukan untuk memperkuat Kelantan pada musim ini.

"Memang benar saya tertarik dengan kelincahan Ashfaq dan Krasniqi dalam mengemudi pasukan masing-masing tapi saya tak akan ambil mereka, nanti timbul pula isu rembat pemain.

"Saya hanya mahukan pemain import seperti mereka, lincah dan tenang semasa berada di atas padang. Kelebihan seperti itu perlu ada dalam pasukan PQPTRW," katanya.

Sebelum ini, Vida dilaporkan terpikat dengan Ashfaq dan Krasniqi kerana kehadiran mereka nyata memberi manfaat bersama pasukan masing-masing.

Kelibat Krasniqi dikatakan menarik perhatian Vida selepas pemain kelahiran Kosovo itu menjadi watak penting hingga rekod tanpa kalah Kelantan musim ini musnah selain tersingkir daripada saingan Piala FA ketika berkunjung ke Stadium Darul Aman, awal bulan ini. 

Sebelum ini, penyerang Thailand, Teerasil Dangda disebut-sebut antara pemain yang diintai untuk dibawa masuk ke Kelantan ketika jendela perpindahan dibuka nanti.

Namun hasrat untuk membawa masuk Dangda bergantung kepada rundingan bersama pemain itu dan pasukan Muangthong United memandangkan kontraknya akan berakhir Jun ini.





Artikel Lain