KUALA LUMPUR: Cabaran negara dalam acara perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Grand Prix Emas Terbuka Switzerland berakhir selepas tiga pemain negara tumpas kepada lawan masing-masing pada pusingan kedua pada Rabu. Bekas juara remaja dunia 2011, Zulfadli Zulkiffli menampilkan aski cemerlang menentang pilihan kedua, Chou Tien Chen dari Taiwan sebelum tewas 21-17, 12-21 dalam perlawanan yang berlangsung kira-kira 66 minit di St Jakobshalle Arena di Basel, Switzerland. Pemain perseorangan lelaki skuad pelapis kebangsaan, Soong Joo Ven juga menerima nasib yang sama kecundang 19-21, 21-19 dan 13-21 kepada seorang lagi pemain Taiwan, Wang Tzu Wei. Juara kebangsaan, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, sebaliknya mengambil keputusan untuk menarik diri ketika ketinggalan 9-17 pada aksi menentang pemain Indonesia, Muhammad Bayu Pangisthu dalam set kedua selepas mengalami kecederaan. Terdahulu, Iskandar kalah 17-21 dalam set pertama. Pemain yang mara ke slot separuh akhir Kejohanan All-England 2016, Goh V Shem/Tan Wee Kiong selaku pilihan keenam, akan meneruskan saingan menentang pasangan dari Switzerland, Mathias Bonny/Christian Kirchmayr. Bekas gandingan beregu kebangsaan, Koo Kien Kiat/Tan Boon Heong pula akan bertemu pasangan dari Perancis Bastian Kersaudy/Gaetan Mittelheisser dalam aksi pembukaan. Pemain perseorangan wanita utama negara, Tee Jing Yi akan menentang pemain Taiwan Pai Yu Po sementara pasangan beregu wanita utama negara, Vivian Hoo Kah Mun/Woon Khe Wei akan berentap dengan gandingan Switzerland/Malaysia, Nadia Fankhauser/Sannatasah Saniru dalam aksi pembukaan, lewat hari Rabu (awal Khamis waktu Malaysia). Malaysia tidak menghantar wakil dalam acara beregu campuran kejohanan Grand Prix Emas yang menawarkan hadiah berjumlah US$120,000 (RM499,716). -Bernama