Ketika kembali bersama Chelsea pada Disember 2015, Hiddink memasang impian mengakhiri musim 2015-2016 di zon Liga Juara-Juara, tetapi hasratnya itu telah padam.
Berdasarkan carta terkini liga, Chelsea menduduki tempat ke-10 dengan 40 mata, ketinggalan 11 mata untuk mengejar Manchester City di kedudukan ke-4.
Chelsea turut tersingkir daripada Liga Juara-Juara apabila ditundukkan Paris Saint-German (PSG) dan kalah kepada Everton dalam Piala FA Inggeris.
Bagaimanapun, dari sudut positif, situasi ini akan memberi kelebihan kepada pemain muda Chelsea kerana Hiddink berhasrat menurunkan beberapa pemain mudanya dalam beberapa baki perlawanan.
"Kami harus menerima kenyataan telah tersingkir dari Piala FA dan Liga Juara-Juara. Pemain muda mungkin akan mendapat peluang," katanya.
Dalam perlawanan minggu ini The Blues akan berdepan West Ham United di Stadium Stamford Bridge.