SEPANG: Proses pemulihan pemain menjadi fokus utama
Ketua Jurulatih Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee sebelum skuad negara itu
berdepan Arab Saudi pada aksi terakhir Kumpulan A Pusingan Kelayakan Piala Dunia
2018/Piala Asia 2019 di tempat lawan pada 24 Mac ini.
Jurulatih kelahiran Melaka itu mengakui tujuh pemain Johor Darul Ta'zim yang
melapor diri hari ini masih lagi keletihan selepas beraksi pada suku akhir
pertama Piala FA menentang Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di Stadium Hang Jebat,
Melaka, malam tadi.
"Kemungkinan besar saya akan menjalankan latihan ringan esok sebelum
menjalani latihan intensif terutamanya taktikal permainan pada 22 Mac ini dan
menurunkan kembali intensiti latihan sehari sebelum berdepan Arab
Saudi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sebelum Harimau
Malaysia berlepas ke Jeddah, Arab Saudi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala
Lumpur pada Ahad.
Menurutnya kesebelasan utama yang bakal diturunkan berdepan Arab
Saudi nanti hanya akan ditentukan dalam tempoh tiga hari latihan bermula Isnin.
Pada masa sama, Kim Swee menuntut pemainnya supaya mempamerkan aksi
lebih berdisiplin dan tersusun memandangkan gergasi Asia Barat itu semestinya
akan menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk meraih kemenangan.
Sementara itu, kapten pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) Safiq Rahim
mengharapkan bantuan rakan sepasukan untuk mempamerkan aksi terbaik berdepan
Arab Saudi terutamanya bagi mengembalikan semula maruah skuad kebangsaan susulan
prestasi hambar dalam beberapa perlawanan pusingan kelayakan sebelum ini.
Beliau menjelaskan tugas menjaringkan gol tidak hanya diletakkan di bahunya
kerana semua pemain turut bertanggungjawab di atas keputusan berdepan Arab Saudi
nanti.
"Apa yang penting kita belajar daripada kesilapan lalu dan kita buat sesuatu
di sana.Kita tahu Arab Saudi adalah satu pasukan yang terbaik di Asia.
"Bagi saya, kita perlu ambil perlawanan ini secara serius untuk
mengembalikan semula maruah skuad kebangsaan," katanya.
Malaysia akan berdepan Arab Saudi di Stadium King Abdullah Sports City,
Jeddah pada 8.30 malam Khamis waktu tempatan (1.30 pagi Jumaat waktu
Malaysia).-Bernama