Namun, Suarez tetap mengkritik Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang dianggap tidak adil dalam menghukumnya.
Suarez baru saja menamatkan hukuman penggantungan sembilan perlawanan bersama Uruguay susulan tindakannya menggigit pemain Itali, Giorgio Chiellini dalam perlawanan peringkat kumpulan Piala Dunia 2014.
Selain itu Suarez juga dilarang melakukan aktiviti berkaitan bola sepak selama empat bulan.
"Saya selalu menyatakan bahawa segala yang terjadi mempunyai alasannya sendiri. Kini, saya kembali bersama Uruguay di negara tempat berlakunya insiden, Brazil. Ini adalah takdir," ujar Suarez memetik Football Espana.
"Saya berasa tenang kerana pasukan ini mampu membuktikan bahawa mereka tidak menyisihkan saya. Mereka adalah pasukan yang kuat," sambungnya.
"Saya sudah tidak sabar lagi kerana bergabung semula dengan mereka akan memberikan satu kegembiraan. Apatah lagi, semua mereka memberikan sokongan ketika saya dihukum. Sekarang, saya berharap dapat membalas sokongan mereka."
Suarez turut mengkritik FIFA yang dinilainya tidak adil dalam menjatuhkan hukuman terhadapnya, ditambah dengan kontroversi rasuah yang melanda FIFA tahun lalu yang turut membabitkan presiden Sepp Blatter.
"Saya memang bersalah, tetapi saya dihukum lebih berat daripada sewajarnya," katanya.