suria

Terbuka Malaysia: Iskandar Mudah Mara Ke Undian Utama

Aksi Iskandar ketika menentang pemain Indonesia Sony Dwi Kuncoro pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Stadium Malawati Selasa. Foto: Bernama

SHAH ALAM: Pemain perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin hanya mengambil masa 20 minit untuk mengesahkan tempat ke undian utama Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia. 

Pemain berusia 25 tahun itu menundukkan Alistair Casey dari Scotland dengan straight set 21-7, 21-4 di pusingan kedua peringkat kelayakan di Stadium Malawati pada Selasa.

Terdahulu Iskandar Zulkarnain menyingkirkan pemain berpengalaman dari Indonesia, Sony Dwi Kuncoro dengan 21-16, 18-21, 21-18 pada pusingan pertama yang diadakan pada tengah hari.

"Saya sangat gembira, tetapi banyak lagi yang belum selesai. Saya kena fokus dalam setiap perlawanan. Kemenangan ke atas Sony menaikkan lagi semangat saya untuk menang di pusingan kedua kelayakan," katanya.

Juara kebangsaan 2015 yang baharu pulih daripada kecederaan tumit kanan menunjukkan perkembangan positif selepas berehat hampir sebulan berikutan kecederaan yang dialami sewaktu Terbuka Switzerland, bulan lepas.

Iskandar Zulkarnain berkata beliau mahu menunjukkan kemampuannya beraksi di Terbuka Malaysia untuk diserapkan dalam skuad Piala Thomas nanti.

"Bulan ini adalah penilaian untuk skuad Piala Thomas, saya mahu membuktikan kemampuan dalam kejohanan ini," katanya.

Menanti beliau di pusingan pertama undian utama esok ialah Anthony Gintingdari Indonesia.

"Anthony merupakan pemain yang pantas dan serangannya agak tajam, saya kena kawal permainannya esok...saya pernah kalahkannya di Masters Malaysia," katanya.

Iskandar Zulkarnain menewaskan Anthony pada pusingan kedua di Masters Malaysia di Pulau Pinang pada Januari lepas.

Selain Iskandar Zulkarnain, turut mara ke undian utama ialah Chong Yee Han yang akan berdepan pemain nombor dua dunia, Lin Dan dari China manakala Goh Soon Huat akan menentang Son Wan Ho dari Korea Selatan.

Jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei yang juga pilihan kedua kejohanan akan berdepan Takuma Ueda dari Jepun untuk kembali merebut gelaran ke-11 selepas memenangi pada 2004, 2005, 2006, 2008-2014. 

Chong Wei tidak beraksi pada tahun lepas kerana digantung lapan bulan selepas didapati positif ujian doping oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Turut mara ke undian utama adalah tiga beregu lelaki, Mohd Razif Abdul Latif-Muhammad Hafiz Hashim, Hoon Thien How-Teo Kok Siang dan Darren Isaac Devadass-Tan Jinn Hwa.

Tiada wakil perseorangan wanita dan beregu campuran yang layak ke undian utama.

Kejohanan Terbuka Malaysia menawarkan hadiah keseluruhan $550,000 (RM 2.2juta). -Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain