KETUA jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe mengajak semua penyokong meluangkan masa untuk mengundi sebanyak mungkin agar mendapat jumlah tertinggi bagi pencalonan kategori Pasukan Pilihan Online dalam Anugerah Pilihan Online (APO) 2016. Pasukan lain yang turut diumumkan menduduki lima teratas bagi kategori sama adalah JDT, Kelantan, Pasukan Memanah Wanita Kebangsaan dan skuad Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN). Proses pengundian fasa kedua bermula 1 April hingga 27 April ini dan sepanjang tempoh itu undian boleh dibuat setiap hari (sekali sehari) menerusi tiga platform iaitu akaun Facebook, Instagram dan Google di laman web apo.mstar.com.my. Malam kemuncak APO2016 bakal diadakan pada 30 April 2016 (Sabtu) dan akan dipancarkan secara langsung menerusi TV2 dari Auditorium Perdana, Angkasapuri Kuala Lumpur, pukul 9 malam. Acara ini bertemakan Glam Digital yang bakal menyaksikan pentas dan laluan karpet berwarna ungu (purple carpet) sebagai simbolik kepada kemeriahan tema yang dibawa. Pemenang bagi setiap kategori bakal menerima trofi, hadiah dari penaja utama Dnars, seutas rantai mutiara sumbangan Rafflesia, jam tangan jenama Ice Watch dan penginapan serta makan malam sumbangan Hotel Dorsett Putrajaya.