PEMAIN gantian Vicente Iborra menjaringkan gol kemenangan ketika perlawanan berbaki tujuh minit untuk menghidupkan peluang Sevilla mempertahankan trofi Liga Europa selepas menundukkan Athletic Bilbao 2-1 pada aksi suku akhir pertama di Stadium San Mames, awal pagi Jumaat. Bilbao terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Aduriz Zubeldia pada minit ke-47. Namun Sevilla bangkit selepas ketinggalan 0-1 apabila Timothee Kolodziejczak menyamakan kedudukan pada minit ke-56. Iborra muncul penyelamat Sevilla apabila melengkapkan gol kemenangan pasukan itu di gelanggang lawan pada minit ke-83. Kedua-dua pasukan itu turut bersaing sengit apabila berkongsi 48 mata pada aksi La Liga. Sementara itu, dalam perlawanan berasingan Shakhtar Donetsk berjaya menewaskan Sporting Braga 2-1. Yaroslav Rakitskiy menjaringkan gol pertama Shakhtar sebelum Facundo meletakkan pasukan lawan itu dengan kedudukan selesa 2-0. Namun Braga berjaya merapatkan kedudukan menerusi jaringan pemain gantian Wilson Eduardo pada minit ke-89. Kelab Sepanyol, Villarreal turut mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Sparta Prague di gelanggang sendiri. Cedric Bakambu diangkat sebagai wira selepas menjaringkan dua gol untuk pasukan tuan rumah masing-masing pada minit ketiga dan 63. Prague pula memperoleh gol tunggal menerusi Jakub Brabec pada minit ke-49. Kesemua pasukan akan berentap pada aksi suku akhir kedua pada awal pagi Jumaat depan untuk mengesahkan tiket ke pusingan separuh akhir.