PELUMBA muda negara, Khairul Idham Pawi berjanji akan memberikan 100 peratus tunggangan terbaik pada pusingan kelayakan ujian masa awal pagi Ahad dalam memburu petak depan Grand Prix (GP) Amerika Syarikat bagi kategori Moto3. Khairul Idham mengakui dia masih lagi cuba memahami dan menyesuaikan diri dengan keadaan Litar Americas di Texas yang semenangnya mencabar. Litar sepanjang 5.516 kilometer itu memerlukan anak jati Kampung Gajah, Perak tersebut beraksi mengikut arah lawan jam. "Litar ini sungguh mencabar dengan banyak selekoh dan berbukit. Jadi, saya sedang menyesuaikan diri dan saya harap akan dapat memberikan persembahan 100 peratus esok (Ahad) untuk memburu petak depan," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Honda Team Asia pada Sabtu. Dalam sesi latihan bebas pagi Sabtu, Khairul Idham yang lebih dikenali dengan gelaran Super KIP itu sekadar menduduki tempat ke-21 selepas menamatkan sesi latihan bebas kedua dengan catatan masa 2 minit 18.361 saat. Rekod itu lebih baik berbanding sesi latihan pertama apabila pelumba yang berusia 17 tahun itu sekadar menduduki tempat ke-24 dengan catatan masa 2'20.903s. Sementara itu, pengurus Honda Team Asia, Tadayuki Okada mengakui litar tersebut amat mencabar dan teknikal khususnya bagi penunggang muda seperti Khairul Idham. "Dia bekerja keras untuk memahami dan menyesuaikan diri dengan trek. Dia akan menunjukkan peningkatan ketara pada esok, jadi diharap dia akan mencatatkan keputusan terbaik pada sesi kelayakan nanti," katanya. Khairul Idham mencipat kejutan apabila menjuarai Moto3 Grand Prix Argentina di litar Termas de Rio Hondo, di Santiago del Estero, Argentina, awal pagi Isnin lalu. Pelumba Honda Team Asia itu mencatat masa terpantas 41 minit 35.452 meninggalkan pelumba Sepanyol, Navarro (Estrella Galicia 0.0) serta Brad Binder (Red Bull KTM Ajo), 42m 5.791s. Khairul Idham kini berada di kedudukan keempat keseluruhan pelumba dunia dengan meraih 25 mata. Seorang lagi pelumba negara, Adam Norrodin yang beraksi bersama Drive M7 SIC Racing Team menduduki tempat ke-29 pada sesi latihan pertama dengan catatan 2'21.574s sebelum memperbaiki kedudukan itu di tangga ke-24 pada sesi latihan bebas kedua dengan kepantasan 2'18.681s. Pelumba Perancis Fabio Quartararo dari pasukan Leopard Racing KTM mencatatkan masa terpantas dengan 2'16.250s pada sesi latihan kedua.