TUAN rumah, Manchester City memastikan kemenangannya ke atas West Bromwich Albion dengan gol 2-1 dalam perlawanan awal pagi Ahad. Kemenangan di Stadium Etihad itu juga menyaksikan City menambah tiga mata, menjadikan mereka berada di empat kedudukan teratas carta Liga Perdana Inggeris dengan 57 mata. Di atas mereka adalah Arsenal yang hanya mempunyai kelebihan dua mata iaitu 59. Gol West Brom disumbat masuk oleh Stéphane Sessègnon seawal minit keenam, sementara gol City disumbangkan oleh Sergio Aguero pada minit ke-13 dan Samir Nasri. Dalam perlawanan ini City tampil tanpa kekuatan penuh. Vincent Kompany dan Raheem Sterling tidak diturunkan oleh Pellegrini kerana masih belum pulih sepenuhnya manakala David Silva juga perlu berehat kerana mengalami kecederaan hamstring. Gol kemenangan City diperoleh menerusi Nasri pada minit ke- 66 setelah menerima umpan daripada Aguero di pintu gol. Gol tersebut merupakan gol pertamanya sejak mengalami kecederaan pada Oktober 2015 sekali gus membuktikan bahawa dirinya masih berbisa setelah tidak menyertai 21 pertandingan bersama City di Liga Perdana Inggeris. Sebelum ini Nasri hanya bermain 25 minit dalam perlawanan menentang Burnemouth, minggu lepas.