IPOH: Pengurusan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) menolak hasrat Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri Datuk Shahrul Zaman Yahya untuk meletak jawatan sebagai pengurus pasukan Liga Super Perak. Presiden PAFA Datuk Seri Abdul Puhat Nayan berkata sehingga kini, Shahrul Zaman masih kekal sebagai pengurus pasukan 'The Bos Gaurus'. "Pihak pengurusan akan memaklumkan sebarang keputusan yang akan diambil berhubung perkara ini kepada media secara rasmi. "Ia akan dibuat selepas selesai kempen pasukan mengharungi cabaran Piala FA dan pusingan pertama Liga Super," katanya dalam kenyataan di sini, Isnin. Shahrul Zaman yang juga Timbalan Presiden PAFA dalam catatan di akaun Twitternya Sabtu lepas, mengumumkan peletakan jawatan beliau itu berikutan kekalahan Perak kepada Pahang 3-4 dalam aksi Liga Super, pada hari tersebut. Abdul Puhat berkata ketika ini PAFA sedang menumpukan sepenuh perhatian terhadap persiapan 'The Bos Gaurus' menjelang pertemuan dengan PKNS FC dalam saingan separuh akhir pertama Piala FA, Jumaat ini. Abdul Puhat yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Perak berkata PAFA juga sedang menumpukan usaha penambahbaikan prestasi pasukan untuk menghadapi saingan Liga Super seterusnya. Setelah mengharungi tujuh perlawanan musim ini, Perak berada di tangga kedua tercorot liga dengan empat mata, selepas hanya seri empat kali dan kalah tiga perlawanan.