SEPANG: Kejayaan merangkul pingat emas pertama Kejohanan Siri Piala Dunia Gimnastik Artistik di Ljubljana, Slovenia menyuntik semangat gimnas negara, Tan Ing Yueh mengintai peluang ke Sukan Olimpik Tokyo 2020. Tan yang memenangi acara batang titian di Slovenia, Ahad lepas berkata bagi mengekalkan prestasi cemerlang dalam setiap kejohanan, beliau perlu lebih bekerja keras dan fokus untuk mencapai matlamat itu. "Saya tidak sangka dapat menang pingat emas, saya juga tidak meletakkan sebarang sasaran kerana ramai gimnas yang layak ke Sukan Olimpik Rio turut beraksi di Slovenia. "Selepas ini saya mahu meningkatkan tahap kesukaran dalam rutin persembahan untuk tampil lebih konsisten lagi. Sasaran utama saya memang untuk ke Olimpik Tokyo," katanya selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini Selasa. Tan yang juga merupakan pemenang dua pingat emas Sukan SEA Singapura berkata beliau dan dua rakannya iaitu Farah Ann Abdul Hadi dan Traicey Ang hanya berlatih di Bukit Jalil sahaja untuk persiapan sebelum beraksi di Slovenia. "Kami banyak berlatih di Bukit Jalil. Ini diikuti satu kejohanan di Doha selain berlatih seminggu di sana sebelum menyertai pertandingan di Slovenia," katanya. Selepas ini, gimnas berusia 20 tahun itu akan beraksi di Kejohanan Siri Piala Dunia Gimnastik Artistik Portugal pada Jun ini. "Keyakinan diri memainkan peranan penting, saya hanya mahu cuba yang terbaik tanpa memikirkan saingan yang lain," kata Tan. Turut meraih pingat emas adalah seorang lagi atlet negara, Tracie dalam acara senaman lantai. Farah Ann pula merangkul pingat perak pertama Malaysia menerusi acara palang bertingkat pada kejohanan itu. Kesemua anak didik ketua jurulatih Nataliya Sinkova itu menampilkan aksi mempesonakan selepas merangkul dua pingat emas dan satu perak pada kejohanan itu. - BERNAMA