PETALING JAYA: Pemain perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei yakin Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan membariskan pemain terbaik bagi menghadapi pusingan akhir Piala Thomas Mei ini. Katanya, beberapa nama telah dicadangkan kepada BAM sebelum senarai akhir pemain dimuktamadkan sebelum 1 Mei ini bagi memastikan pasukan kali ini dapat mempamerkan aksi terbaik dan seimbang. "Sebagai ketua pasukan dan bertanggungjawab dalam cabaran ini saya akan cadangkan nama beberapa pemain tapi keputusan akan ditentukan oleh semua ahli majlis, jurulatih dan ketua pasukan. "Saya harap mereka akan pilih satu pasukan yang paling sesuai tahun ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Car Craze Campaign 2015 anjuran XOX Mobile di sini, Khamis. Chong Wei berkata beliau melihat cabaran Piala Thomas yang akan berlangsung di Kunshan, China dari 15-21 Mei ini adalah berbeza dengan edisi 2014 di New Delhi. Ini kerana, terdapat perubahan besar dari segi pemain perseorangan yang akan menyaksikan beberapa pemain muda seperti Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Goh Soon Huat, Liew Daren dan Chong Wei Feng yang mungkin akan diturunkan. "Kali ini betul-betul berbeza, sebab kita akan ubah banyak dari segi pemain perseorangan. "Saya (perseorangan pertama) tak ubah, tapi tiga lagi pemain perseorangan belum tahu dan kita belum muktamadkan. Ini saya kena rujuk semula dengan " katanya. Bagaimanapun Chong Wei percaya pasukan yang akan diturunkan pada kejohanan kali ini lebih realistik. "Kita turun bukan sebagai pasukan yang sangat kuat, bukan juga sangat lemah, tapi kita akan pergi lawan dan buat yang terbaik," katanya. Mengulas lanjut mengenai pemain-pemain perseorangan yang mungkin akan diturunkan, beliau berkata Wei Feng mempunyai kelebihan dari segi pengalaman dan telah menunjukkan permainan yang baik. Namun katanya, kejohanan besar ini juga boleh menjadi satu gelanggang terbaik untuk Iskandar belajar sesuatu, termasuklah berdepan tekanan. "Tekanannya adalah bermain secara berpasukan. "Bukan saya bagi tekanan kepadanya, tapi saya rasa ini sesuatu yang bagus untuk Iskandar belajar tentang 'team bulding' dan tekanan," katanya. Sebagai rekod, Malaysia menjuarai Piala Thomas sebanyak lima kali -- 1949, 1952, 1955, 1967 dan 1992, namun tiada pencapaian membanggakan dalam Piala Uber.