suria

Finalis APO2016: Farah Ann Azam Catat Mata Terbaik Di Rio

Farah Ann memenangi pingat perak bagi kategori palang bertingkat di Slovenia.

PETALING JAYA: Ratu gimnas negara Farah Ann Abdul Hadi enggan meletakkan sasaran tinggi pada aksi kelayakan gimnastik akhir, Aquece Rio di Rio De Janeiro yang akan membuka tirainya, Sabtu ini.

Namun, atlet berusia 22 tahun itu mahu melakukan catatan peribadi terbaik pada kejohanan yang bakal menentukan jaminan tiket ke Sukan Olimpik, Ogos ini.

"Ramai atlet terbaik dunia akan beraksi pada kejohanan ini. Jadi saya tak letak sebarang sasaran untuk menang cuma mahu lakukan catatan peribadi terbaik.

"Jika letak sasaran tertentu, takut nanti kalau gagal direalisasikan ia akan beri tekanan kepada saya. Jadi kita tunggu dan lihat sahaja nanti," katanya kepada mStar Online.

Menurut Farah Ann, cabaran pasti sukar dan beliau perlu mengharungi kesemua empat acara yang dipertandingkan iaitu senam lantai, batang titian, melombol dan palang bertingkat pada kejohanan itu.

"Semua peserta yang layak ke kejohanan ini wajib sertai semua acara. Walaupun layak, laluan tidak mudah tapi saya akan cuba lakukan yang terbaik," katanya.

Walaupun sedikit tertekan, Farah mengakui mendapat suntikan semangat untuk menghasilkan keputusan positif selepas memenangi pingat perak dalam kategori palang bertingkat pada kejohanan Gimnastik Piala Dunia di Ljubjlana, Slovenia, Ahad lalu.

"Kejayaan di Slovenia  menaikkan semangat saya untuk mempamerkan aksi memberangsangkan. Saya akan cuba lakukan yang terbaik demi mengharumkan nama negara," katanya.

Farah Ann merupakan finalis Anugerah Pilihan Online 2016 (APO2016) bagi kategori Binatang Sukan Wanita Pilihan Online.

Anak jati Selangor itu terkejut dan terharu dengan undian peminat yang membolehkannya tersenarai dalam kelompok lima teratas bagi kategori tersebut.

Farah Ann mahu lakukan catatan peribadi terbaik.

"Tak sangka nama saya tersenarai bersama atlet idola saya iaitu Datuk Nicol Ann David dan Pandelela Rinong. Saya berterima kasih kepada mereka yang mengundi saya," katanya.

Ditanya mengenai peluang untuk memenangi kategori itu, Farah Ann berkata setiap atlet mempunyai peminat tersendiri dan kalah menang adalah adat dalam pertandingan.

"Nicol dan Pandelela, mereka idola saya. Tak kisah siapa menang kerana kalah menang itu adat. Jika menang saya anggap ia bonus," katanya.

Selain tiga atlet itu, turut tersenarai merebut gelaran juara bagi kategori tersebut adalah pelumba trek berbasikal negara, Fatehah Mustapa dan atlet gabungan seni mempertahankan diri (MMA) Ann Osman.

Proses pengundian bermula 1 April hingga 27 April ini dan sepanjang tempoh itu undian boleh dibuat setiap hari (sekali sehari) menerusi akaun Facebook, Instagram dan Google di laman web khas APO2016 iaitu http://apo.mstar.com.my/undi.asp.

Debaran APO2016 mulai dirasai selepas peringkat pertama berakhir pada 31 Mac dan pengumuman senarai pencalonan lima terbaik itu diadakan di Menara Star di 31 Mac lalu.

Acara ini dianjurkan oleh mStar Online bersama Suria FM serta dihebatkan oleh Dnars sebagai penaja rasmi.

Malam kemuncak APO2016 bakal diadakan pada 30 April 2016 (Sabtu) yang dipancarkan secara langsung menerusi TV2 dari Auditorium Perdana, Angkasapuri Kuala Lumpur, pukul 9 malam.


Farah Ann Abdul Hadi, gimnastik

Artikel Lain