suria

Pandelela, Mun Yee Gagal Raih Pingat Di Windsor

Gambar fail Pandelela Rinong.

KUALA LUMPUR: Gandingan penerjun negara, Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee gagal meraih pingat acara 10m platform seirama selepas sekadar menduduki tempat keempat pada pusingan ketiga Siri Kejohanan Terjun Dunia FINA 2016 di Windsor, Kanada.

Menurut laman web rasmi FINA, www.fina.org, pasangan itu hanya mencatatkan 284.52 mata di Pusat Akuatik Antarabangsa & Pusat Latihan Windsor, Jumaat.

Penerjun China, Liu Huixia dan Chen Roulin muncul juara acara itu setelah mengumpul 348.60 mata selepas lima terjunan.

Penerjun tuan rumah, Meaghan Benfeito dan Roseline Filion berjaya meraih pingat perak dengan jumlah 313.71 mata manakala pingat gangsa menjadi milik duo England, Tonia Couch dan Lois Toulson, dengan hanya perbezaan 3.03 mata.  

Pandelela seterusnya akan bertanding dalam acara individu 10m platform  pada lewat Sabtu manakala seorang lagi penerjun, Wendy Ng Yan Yee pula dalam acara 3m papan anjal individu, Ahad ini. - Bernama

Pandelela Rinong, Leong Mun Yee

Artikel Sebelum

Artikel Lain