suria

Dr Noordin Sasar Bari FC Layak Ke Liga Juara-Juara

Dr Noordin Ahmad

KUALA LUMPUR: Pemilik baharu Bari FC 1908, Datuk Dr Noordin Ahmad meletakkan sasaran kelab Itali itu bersaing dalam Liga Juara-Juara dalam tempoh lima tahun lagi.

Ia adalah sasaran jangka panjang yang diletakkan ahli perniagaan Malaysia itu yang menjadi pengerusi kelab selepas memperoleh 50 peratus saham kelab berkenaan dengan harga 12 juta euro (RM53.159 juta).

"Namun dalam tempoh dua bulan ini, saya mahu membawa Bari ke Serie A. Saya akan bekerjasama dengan Presiden Bari FC 1908 Gianluca Paparesta untuk mewujudkan pasukan yang mantap.

"Saya juga akan menjadi penghubung dari Itali ke Asia (bagi pembangunan bola sepak)," kata ahli perniagaan berumur 59 tahun dari Pulau Pinang itu yang berpangkalan di Itali, ketika dihubungi Bernama pada Selasa.

Bekas pelajar Maktab Tentera Diraja itu menjadi sebutan dan diburu media tempatan serta Itali selepas beliau memiliki 50 peratus saham di kelab tersebut.

Ditanya mengenai minatnya dengan kelab Itali itu, Noordin berkata beliau yakin dengan sokongan penduduk dan penyokong pasukan tersebut.

"Itali adalah negara yang dikenali dengan sinaran mentari dan kecantikannya. Di sini anda boleh mendapat inspirasi untuk melakukan apa sahaja tetapi paling penting dalam meyakinkan saya adalah keramahan penduduknya," katanya.

Bari FC ketika ini menduduki tangga ketiga Serie B, liga bahagian dua Itali, dengan 60 mata selepas 36 perlawanan, di belakang pendahulu, Crotone dan Cagliari yang masing-masing memungut 74 dan 71 mata. 

Selain itu, pengasas Malaysian-French Institute, yang kini dikenali sebagai Universiti Kuala Lumpur, juga menyasarkan untuk meningkatkan skuad Harimau Malaysia setanding pasukan handalan Asia yang lain.

"Saya mahu melihat bola sepak Malaysia maju di pentas antarabangsa. Atas sebab itu, saya akan bekerjsama dengan Kementerian Belia dan Sukan.

"Saya mahu menubuhkan akademi bola sepak untuk melatih belia Malaysia tentang semua disiplin sukan itu, bukan hanya untuk pemain bola sepak sahaja.

"Akademi itu akan melatih belia Malaysia dan mendedahkan mereka kepada Eropah, bukan hanya kepada Bari," katanya.

Noordin yang berpuas hati dengan kelab dan petugas teknikalnya, turut menjelaskan masih terlalu awal untuknya membuat rombakan di situ.

"Buat masa ini, saya hanya perlu duduk bersama perunding terbaik untukmencari jalan bagi meningkatkannya," katanya.

Paparesta dikatakan membeli kelab itu dengan harga 2 juta euro (RM8.850juta) pada 20 Mei 2014 dalam lelongan selepas ia muflis sebelum menukar namanya kepada FC Bari 1908.

Bari FC ditubuhkan pada 1908 dan antara pemain ternama yang pernah beraksi di kelab itu ialah Nicola Ventola, Gianluca Zambrotta, Antonio Cassano, Diego De Ascentis, Leonardo Bonucci dan Andrea Ranocchia serta bekas pemain England, David Platt.

Era terbaik Bari FC adalah pada 1947 apabila mereka menduduki tangga ketujuh Serie A, liga teratas bola sepak Itali. -Bernama

BAri FC, Datuk Dr Noordin Ahmad

Artikel Lain