PUTRAJAYA: Fokus sambutan Hari Belia Negara 2016 akan tertumpu kepada penganjuran program di peringkat akar umbi bagi menggalakkan penglibatan belia dan mahasiswa, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin. Beliau berkata sambutan itu, yang bertema 'The Future Is Now', diadakan mulai 9 Mei ini di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang dengan acara kemuncaknya pada 15 Mei. Bercakap kepada pemberita selepas majlis prapelancaran sambutan itu di sini Selasa, Khairy berkata sebanyak 140 program dirangka untuk dilaksanakan di peringkat daerah dan negeri di seluruh negara sempena sambutan itu. Antara kelainan sambutan tahun ini ialah program Jelajah Kampus yang bertema 'Persembahan Bakat' dengan belia dan mahasiswa diberi ruang dan peluang untuk berkongsi, melaksana dan mempersembahkan kehendak serta minat mengikut citarasa mereka sendiri. "Ia sudah pasti memberikan rasa agak berbeza namun selari dengan cita rasa anak muda masa kini melalui aktiviti seperti bengkel kreatif, galeri bakat, bazar dan food truck serta persembahan pentas," katanya. Sambutan itu turut menghimpunkan pelbagai aktiviti dan program oleh persatuan-persatuan belia dalam bentuk kesukanan, kesenian, kesukarelaan, kerohanian, komuniti, kemahiran dan kepimpinan, katanya. Ditanya mengapa Putrajaya tidak lagi menjadi tuan rumah kepada penganjuran hari belia berkenaan, Khairy menjelaskan selain lebih ramai belia dapat dilibatkan, ia juga diputuskan sebagai satu langkah penjimatan oleh kementerian. Walaupun Festival Belia di Putrajaya sudah dianggap program ikonik untuk Putrajaya namun, penganjurannya memerlukan peruntukan besar dan menyebabkan kementerian bekerjasama dengan universiti bagi penganjuran tahun ini. "Setiap kementerian diminta mengurangkan penganjuran acara-acara besar...kalau kita hendak buat acara ini di Putrajaya, kementerian kena buat dengan peruntukan secukupnya. Jika tidak, ia akan jadi sambutan yang 'hidup segan, mati tak mahu'," katanya. Khairy bagaimanapun tidak menolak kemungkinan Festival Belia Putrajaya, yang diakui baik dari segi konsepnya itu, kembali diadakan di Putrajaya sekiranya kementerian mendapat peruntukan di masa hadapan. - BERNAMA