suria

Empat Pelumba Wanita Uji Kemampuan Di Cub Prix

Dari kanan: Fifie, Fatimah, Nasha dan Aina.

PETALING JAYA: Penglibatan pelumba wanita di dalam bidang sukan permotoran bukanlah satu perkara baharu, sebaliknya semakin hari sukan yang dimonopoli oleh lelaki ini semakin diterima dan mendapat sambutan daripada golongan wanita.

Saingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2016 menyaksikan pertambahan kepada empat pelumba wanita yang mengambil bahagian berbanding hanya dua pelumba pada musim lepas.

Mereka ialah Siti Norafizah Mohamad, Siti Fatimah Husna Muslim, Nasha Edziera Bahauddin dan Nuraina Halisya Hamirudin, keempat-empatnya beraksi dalam kelas perlumbaan terbuka.

Antara nama yang sering mencuri tumpuan ialah Siti Norafizah atau lebih dikenali sebagai Fifie.

Mula beraksi dalam kejuaraan Cub Prix pada tahun 2011, pelumba berusia 21 tahun itu berjaya memecah dominasi lelaki sejak mula berkecimpung dalam kategori Wira dan beralih ke kelas Pro-Am sebelum berjaya menarik minat pasukan BH Petro Dash Tabuan Racing untuk beraksi dalam kelas CP115 bermula musim ini.

“Perlumbaan di litar seperti ini selalunya memberi kelebihan kepada mereka yang mempunyai saiz tubuh yang kecil dan ringan,” jelas Fifie yang membuktikan kemampuan dengan meraih enam podium di dalam kelas Pro-Am pada musim lepas.

Nama Nasha juga merupakan antara nama yang sinonim dengan perlumbaan Cub Prix pada hari ini.

Mula berlumba sejak penghujung tahun 2009, Nasha memulakan aksinya di dalam kelas Wira dan kini beraksi di dalam kategori Pro-Am dan turut berjaya meraih dua podium dalam kategori tersebut pada musim lepas.

Dua lagi pelumba, Siti Fatimah Husna Muslim dan Nuraina Halisha Hamirudin mula beraksi pada tahun ini di mana Siti Fatimah membawa cabaran pasukan Petronas Yamaha-CKJ  dalam kategori CP115 dan Nuraina merupakan pelumba bersendirian di dalam kategori Wira.

Cub Prix Wanita

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain