PENYERANG Leicester City, Jamie Vardy terpilih sebagai Pemain Terbaik 2016 oleh Persatuan Penulis-Penulis Bola Sepak England (FWA). Pemain antarabangsa England itu menerima 290 undian daripada hampir 400 penulis-penulis sukan bola sepak dengan kelebihan 36 peratus berbanding rakan sepasukannya, Riyad Mahrez dan N'Golo Kante. Vardy, 29, telah menjaringkan 24 gol untuk kelab dan negaranya musim ini, malah turut membantu Foxes berada di kedudukan teratas liga yang semakin hampir untuk menjulang trofi Liga Perdana Inggeris musim ini. Malah gelaran juara secara rasmi akan diraikan sekiranya pesaing terdekat, Tottenham Hotspur tewas kepada Chelsea dalam aksi awal pagi Selasa. Seramai tujuh pemain Leicester yang tersenarai dalam anugerah FWA ini termasuk kapten Danny Drinkwater, penjaga gol Kasper Schmeichel, Wes Morgan (pemain pertahanan) dan Danny Simpson. Selain itu, pemain lain yang turut tersenarai dalam pencalonan tersebut ialah dua pemain Spurs Harry Kane serta Dele Alli , 'playmaker' West Ham Dimitri Payet, gandingan Manchester City Sergio Aguero dan Kevin De Bruyne. Vardy bakal menerima anugerah yang telah diadakan sejak tahun 1948 pada satu majlis di London pada 12 Mei ini. "Ia satu penghargaan buat diri saya apabila memenangi anugerah berprestij ini serta nama turut berada dalam senarai pemenang-pemenang sebelum ini. "Terima kasih kepada Persatuan Penulis-Penulis Bola Sepak dan mereka yang telah mengundi saya. "Tidak lupa kepada rakan-rakan sepasukan, yang merupakan faktor untuk meraih apa sahaja kejayaan. "Kami mengharungi musim yang menakjubkan di Leicester kerana sikap kerjasama pasukan, bukan individual. Terima kasih juga kepada pengurus, pegawai kelab dan penyokong-penyokong. "Kami akan memberi fokus untuk menamatkan saingan musim ini sekaligus menjadikan musim terbaik yang tidak akan dilupakan," jelas Vardy.