KOTA BARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) meminta agar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) tidak menghukum persatuan bola sepak negeri yang menghadapi masalah termasuk soal kewangan. Setiausaha Agung Kafa, Datuk Ismail Md Noor berkata dua badan induk bola sepak tersebut perlu membuang sikap suka menghukum. "Harap FAM dan FMLLP membantu persatuan yang bermasalah dalam menguruskan pelbagai aspek dalam memastikan pembangunan sukan bola sepak negeri berkembang dan maju," katanya kepada pemberita. Beliau diminta mengulas cadangan FMLLP supaya FAM memotong mata perlawanan pasukan Kelantan atau ia disingkirkan ke Liga Perdana sekiranya Kafa tidak menjelaskan hutang tunggakan gaji lima bekas pemainnya sebelum akhir bulan ini. Cadangan tersebut disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam pada Selasa. Ismail berkata tindakan menghukum bukan sahaja memberi kesan kepada pembangunan bola sepak Kelantan dan persatuan yang mempunyai masalah, malah ia akan memberikan kesan cukup besar kepada pembangunan bola sepak Malaysia. Beliau berkata pihaknya sudah menghantar surat permohonan kepada FAM dan salinannya kepada FMLLP bagi penangguhan bayaran tunggakan gaji tersebut. "Kami (Kafa) bukan tidak mahu bayar, cuma kita terlewat bayar yang mengakibatkan bayaran itu tertangguh. Bila kita ada duit, kita akan bayar, kita akan teruskan bayaran tunggakannya," jelasnya. - BERNAMA