ALOR SETAR: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) tidak berniat mengguris perasaan atau memperkecilkan mana-mana pihak, susulan penolakan tajaan Syarikat D'Herbs Holdings (M) Sdn Bhd (D'Herbs), Rabu lalu. Sebaliknya, Presidennya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, keputusan KFA dibuat kerana kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan, berikutan ada syarat yang dikemukakan D'Herbs untuk tajaan bernilai RM30 juta itu, tidak dapat ditunaikan. "Bagi saya keputusan ini adalah lumrah selepas dua pihak mengadakan perbincangan dan ia tidak sepatutnya menyebabkan hubungan kedua-dua pihak menjadi keruh. "Saya harap penaja memahami keputusan ini dan jika ada ruang pada masa depan, kita sedia berbincang dengan mana-mana pihak demi memajukan bola sepak Kedah," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat. Dalam sidang media khas pada Jumaat, Pengasas D'Herbs, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman berkata beliau amat kecewa dan terkilan ekoran dakwaan KFA yang mengatakan beliau memaksa persatuan itu mendapatkan tanah seluas kira-kira 60 hektar di Pokok Sena, sebagai balasan kerana menaja KFA. Aliff berkata, tanah terbengkalai sejak 2008 itu sebenarnya dicadangkan sendiri kerajaan negeri untuk dibangunkan sebagai Bandar D'Herbs, taman tema dan zoo melalui usahasama dengan anak syarikat kerajaan negeri. Ahmad Bashah yang juga Menteri Besar turut menegaskan KFA bukan persatuan yang bermasalah dan ia masih berjalan seperti biasa bagi membangunkan sukan yang sudah sebati dengan rakyat negeri ini. "Saya akur penajaan itu mampu membantu pasukan, namun ia terpaksa kami tolak buat masa ini kerana kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan dalam situasi menang-menang," katanya. - Bernama