PEP Guardiola bakal meninggalkan Bayern Munich dengan penuh senyuman apabila berjaya mengekalkan trofi Liga Jerman (Bundesliga) buat kali keempat berturut-turut biarpun gagal membawa skuadnya ke final Liga Juara-juara musim ini. Anak buah pengurus kelahiran Sepanyol ini menutup tirai perlawanan dengan mencatat kemenangan 2-1 di Ingolstadt, sebelum menjulang trofi juara yang ke-25 buat Bayern Munich. Robert Lewandowski menjaringkan kedua-dua gol kemenangan itu. Manakala kejayaan ini merupakan trofi ketiga buat Guardiola selepas mengambil alih tugas Jupp Heynckes di Bayern pada tahun 2013. Pun begitu, Guardiola berpeluang menambah profil juara menjelang perlawanan Piala Jerman bertemu Dortmund pada 21 Mei ini. Bagaimanapun, rekod musim akhir bersama Bayern sedikit tercalar apabila impian untuk meraih gelaran treble Liga Juara-Juara musim ini tersekat selepas ditewaskan Atletico Madrid dalam saingan separuh akhir minggu lalu. Pada Februari lalu, Guardiola,45, membuat pengumuman akan berhijrah ke Liga Perdana Inggeris bagi menguruskan kelab Manchester City sebaik sahaja tamat musim ini. “Tempoh saya berada di sini tidak begitu sempurna dan saya perlu menerima hakikatnya (gagal ke final Liga Juara-Juara). “Tetapi saya sangat gembira dan dalam tempoh ini juga saya membantu pemain-pemain supaya mengekalkan tahap tertinggi mereka. Dan saya tidak menyesal,” jelas Guardiola. Bayern Munich mengumpul 85 mata keseluruhan musim ini dengan meninggalkan pesaing terdekat, Borussia Dortmund dengan kelebihan lapan mata, manakala Bayer 04 Leverkusen di tangga ketiga dengan 57 mata.