PETALING JAYA: Selepas dua pusingan siri Kejuaraan Motosikal Asia FIM berlangsung bagi musim 2016, pihak promoter kejuaraan, Two Wheels Motor Racing bakal melakukan perubahan dalam kelas perlumbaan dengan memperkenalkan dua kategori baharu bermula musim hadapan. Selepas perbincangan bersama pengeluar dan pemilik pasukan, tahun 2016 merupakan musim terakhir kategori Underbone 130cc mengikut keadaan pasaran dan permintaan tinggi terhadap jentera motosikal berkuasa 150cc pada masa kini. Kelas baharu 150cc ini akan mula diperkenalkan pada saingan musim 2017. “Bagi peminat perlumbaan Underbone, pengenalan kelas 150cc ini pasti lebih menarik. Jentera 150cc ini pasti lebih laju dengan enjin sejukan cecair, kotak gear enam kelajuan dan juga suspensi penyerapkejutan tunggal yang akan menyediakan cabaran lebih menarik,” jelas Ron Hogg, Pengarah Two Wheels Motor Racing. “Walaupun kelas Underbone merupakan kategori unik dan warisan bagi Asia Tenggara, kita juga perlu mengikuti perkembangan pasaran dan teknologi motosikal pada hari ini. Selama ini, peraturan-peraturan perlumbaan kelas Underbone menjadi penanda aras bagi perlumbaan underbone di Asia. "Alasannya adalah untuk mewujudkan satu platform di setiap negara dan akan menuju ke satu arah yang sama. “Selepas 21 musim, objektifnya telah tercapai dan kini sudah tiba masa untuk kelas Underbone memainkan peranan untuk membawa pelumba Asia ke peringkat seterusnya. Dengan mewujudkan kelas 150cc, secara semulajadinya ia akan menjadi landasan bagi juara-juara siri kebangsaan untuk beralih ke peringkat lebih tinggi,” jelas Ron. Langkah perubahan kedua yang sedang dipertimbangkan adalah untuk memperkenalkan kelas Superbike 1000cc bagi menggantikan kelas SuperSports 600cc. “Kategori SuperSports 600cc merupakan kategori perdana di Kejuaraan Motosikal Asia sejak tahun 2000 lagi. Sebab utama kategori ini terus kekal adalah untuk mengimbangi kos perbelanjaan pasukan, permintaan pasaran dan juga kemampuan pelumba. "Pada masa lepas, Asia tidak mempunyai ramai pelumba untuk membolehkan kami beralih ke kelas Superbike. Namun situasi hari ini berbeza. Pencapaian dan mutu perlumbaan yang ditunjukkan dalam setiap kelas sangat tinggi. Langkah terbaik untuk membawa pelumba ke kemuncak adalah dengan memperkenalkan kelas Superbike ini.” “Langkah ini juga akan membuka persaingan lebih luas diantara pengeluar sekaligus menjadikan satu perlumbaan yang lebih berdaya saing. Keputusan sama ada untuk mengekalkan kelas SuperSports 600cc atau berpindah ke kelas 1000cc pada tahun 2018 akan diputuskan pada penghujung tahun ini,” jelas Ron.