LIVERPOOL: Christian Benteke muncul penyelamat Liverpool apabila menjaringkan gol penyamaan ketika pasukan itu terikat seri 1-1 dengan Chelsea di Anfield, awal pagi Khamis. Chelsea terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Eden Hazard pada minit ke-32. Namun Benteke menyudahkan hantaran Sheyi Ojo dengan sempurna pada minit kecederaan untuk memastikan satu mata menjadi milik pasukan tuan rumah. Selain ketiadaan John Terry, Chelsea turun ke gelanggang keramat Liverpool itu tanpa khidmat penyerang Diego Costa. Sekalipun dianggap antara perlawanan yang paling ditunggu-tunggu, saingan di Anfield hanya rancak di awal perlawanan. Keputusan seri itu turut memanjangkan rekod tanpa kalah Liverpool di laman sendiri kepada 13 perlawanan. Selepas perlawanan itu, Liverpool menduduki tangga kelapan dengan mengutip 59 mata daripada 37 perlawanan manakala Chelsea di kedudukan kesembilan dengan perbezaan 10 mata. Liverpool akan bertemu West Bromwich Albion pada aksi penutup tirai Ahad ini. Chelsea pula akan menerima kunjungan juara Liga Perdana Inggeris musim ini, Leicester City. Meskipun berdepan pelbagi masalah musim ini, Liverpool yang kini dikemudi pengurus Jurgen Klopp masih berpeluang untuk menebus kekecewaan tersebut apabila akan menentang Sevilla FC pada aksi final Liga Europa pada 18 Mei ini. Perlawanan menentang Chelsea itu dilihat sebagai platfrom kepada Klopp untuk memilih barisan terbaik menjelang pertemuan dengan Sevilla nanti.