suria

Harapan Malaysia Ke Suku Akhir Piala Uber Ranap

Pemain perseorangan kedua negara Goh Jin Wei terjatuh ketika membalas hantaran lawannya dari Denmark Mette Poulsen pada Kejohanan Piala Uber di Pusat Sukan Kunshan, Selasa. Skuad Piala Uber negara berjaya memperolehi mata pertama setelah Jin Wei menang dengan 21-18 dan 21-13. -fotoBERNAMA
KUNSHAN: Harapan Malaysia untuk mara ke peringkat suku akhir Piala Uber ranap selepas kalah 2-3 kepada Denmark di Pusat Sukan Kunshan di sini, Selasa.

Ini merupakan kekalahan kedua berturut-turut skuad wanita negara dalam Kumpulan A selepas tumpas 0-5 kepada China pada Ahad.

Tee Jing Yi yang beraksi sebagai perseorangan pertama gagal memberikan mata pertama seperti diharapkan apabila kalah 11-21, 9-21 kepada Line Kjaersfeldt dalam straight set.

Gandingan Amelia Alicia Anscelly/Woon Khe Wei bagaimanapun mempamerkan prestasi cemerlang dengan memberikan saingan sengit kepada beregu nombor lima dunia Chritinna Pedersen/Kamilla Rytter Juhl sebelum tunduk 16-21, 17-21.

Malaysia, yang ketinggalan 0-2, berjaya mengutip satu mata menerusi pemain berumur 16 tahun Goh Jin Wei yang mempamerkan permainan cemerlang dengan menumpaskan Mette Poulsen 21-18, 21-13 dalam straight set untuk menjadikan mata  1-2.

Beregu Goh Liu Ying/Vivian Hoo turut beraksi cemerlang apabila berjaya menyamakan mata kepada 2-2 apabila mencatatkan kemenangan 21-18, 22-24, 21-12 ke atas Maiken Fruergaard/Sara Thygesen.

Malangnya, perseorangan ketiga Ho Yen Mei yang berjaya memenangi set pertama 24-22, gagal mengekalkan rentak dan kalah pada set kedua dan ketiga 13-21, 13-21 dan meranapkan impian Malaysia untuk mara ke suku akhir pertandingan Piala Uber.

Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen berkata beliau kecewa dengan prestasi Jing Yi yang gagal beraksi cemerlang seperti diharapkan.

"Sebenarnya semuanya berjalan mengikut perancangan kami tetapi aksi perseorangan pertama mengecewakan. Ia bukan tentang hakikat yang kami tewas tetapi cara kami tewas kerana peluangnya adalah 50-50," katanya.

Pujian harus diberikan kepada perseorangan kedua dan beregu yang berjaya mengutip dua mata untuk mengikat kedudukan 2-2 yang telah mengembalikan semula harapan Malaysia.

Malaysia akan bertemu Sepanyol untuk menamatkan saingan dalam Kumpulan A.

Artikel Berikut

Artikel Lain