suria

JDT Masih Berselera Lebar Penguasaan - TMJ

JOHOR BARU: Enam piala dalam tempoh tiga tahun sememangnya satu pencapaian membanggakan, namun kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) masih menyimpan selera besar bagi melebarkan penguasaannya.

Pemilik JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengakui masih belum berpuas hati dengan pencapaian JDT setakat ini, walaupun sudah menambah koleksi kejuaraan kepada enam termasuk yang terbaru, Piala FA.

Katanya, ini kerana kelab itu masih mempunyai banyak perancangan jangka panjang yang belum direalisasikan, antaranya pembinaan akademi dan stadium baharunya di Iskandar Puteri.

"Memenangi enam piala dalam tempoh tiga tahun setengah adalah motivasi bagi JDT membuat yang lebih baik pada masa depan. Kelab masih muda dan perjalanannya pun masih jauh.

"Jika kita berpuas hati, kita akan cepat berasa selesa dan akan berada dalam kedudukan statik," kata Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor dalam sidang media di sini, Rabu.

Sementara itu, JDT akan mengadakan latihan bersama dengan kelab gergasi La Liga Sepanyol, Valencia FC di Padang Sri Gelam di sini, esok.

Namun Tunku Ismail berkata hanya sebahagian pemain Valencia sahaja dapat menghadirkan diri manakala yang lain adalah pegawai pasukan dan wakil La Liga.

Menurutnya, selepas latihan itu, satu mesyuarat bersama wakil La Liga akan diadakan bagi membentuk kerjasama antara kedua-dua pihak.

"Sesi latihan ini juga melambangkan hubungan kita dengan Valencia, kita mahu menunjukkan ia bukan sekadar cakap-cakap dalam media sosial tetapi satu realiti.

"Banyak perkara yang akan dibincang mengenai hala tuju kita selepas itu," katanya.

Ini adalah kali kedua JDT berkolaborasi dengan kelab Eropah selepas Borussia Dortmund, sebuah pasukan dalam Liga Jerman.

Tunku Ismail berkata dalam jangka masa terdekat, beliau tidak menolak kemungkinan untuk menghantar pasukannya ke Sepanyol bagi beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang kelab-kelab di sana.

JDT

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain