suria

Juara EPL, Leicester Tiba Di Bangkok

BANGKOK: Juara Liga Perdana Inggeris yang baharu, Leicester City Football Club (LCFC) milik hartawan Thai, Vichai Srivaddhanaprabha, tiba di sini, Rabu untuk meraikan kejayaan itu bersama penyokong mereka.

Ketibaan skuad bimbingan Claudio Ranieri di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi itu disambut sekumpulan penyokong kelab itu di negara ini yang dikenali dengan gelaran 'Siamese Foxes'.

Bagaimanapun kunjungan LCFC ke Thailand tidak disertai beberapa pemain bintangnya seperti penyerang Jamie Vardy dan Danny Drinkwater yang sedang menjalani latihan persiapan skuad England bagi menghadapi kejohanan Euro 2016 tidak lama lagi.

Menurut laman sosial rasmi kelab itu, turut tidak bersama dalam kunjungan kelab berkenaan ke negara kelahiran pemiliknya ialah Riyad Mahrez dan N Golo Kante serta dua pemain lain.

Skuad bimbingan Ranieri itu akan menghadiri sidang media di bangunan Kompleks King Power di Rangnam, Bangkok hari ini dan mempamerkan Piala Liga sebelum dijadualkan berkunjung ke Royal Palace pagi esok.

Ketika di Royal Palace, pemain-pemain akan menandatangani buku mengucapkan kesihatan baik kepada Raja Thai sebelum berarak ke pusat bandaraya Bangkok untuk mengucapkan terima kasih kepada penyokong mereka di negara ini.

Menurut media tempatan, LCFC dipercayai akan berada di Thailand selama seminggu.

Vichai yang dikenali sebagai seorang daripada individu terkaya di Thailand menerusi syarikat bebas cukainya, King Power International Group, membeli kelab bola sepak itu pada 2010 dan dilantik sebagai pengerusinya setahun kemudian.

Kali terakhir LCFC melawat Thailand adalah pada tahun lepas. 

Leicester, Bangkok

Artikel Berikut

Artikel Lain