JOHOR BAHARU: Kagum dengan pencapaian Johor Darul Ta'zim (JDT) dan kemudahan latihannya di sini, kelab Sepanyol, Valencia CF sedia membantu JDT merealisasikan impian membina akademi bola sepak sendiri. Presiden kelab gergasi Sepanyol itu, Layhoon Chan berkata kedua-dua kelab berkenaan kini dalam proses perbincangan dan yakin kerjasama antara mereka mampu membantu JDT mencapai hasratnya. "Kedua-dua kelab mempunyai matlamat yang sama dan harap kita mampu merealisasikannya (akademi) secepat mungkin kerana pengurusan pasukan sedang melakukan perbincangan ketika ini," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menyaksikan sesi latihan antara pemain JDT dan sebahagian pemain Valencia CF di gelanggang latihan skuad Harimau Selatan di Padang Sri Gelam, di sini pada Khamis. Ditanya bentuk kerjasama dan bantuan yang akan dihulurkan kepada JDT untuk membina akademi itu, Chan berkata pihaknya berkemungkinan menyediakan jurulatih dari Sepanyol untuk melatih pemain serta jurulatih tempatan di sini. Beliau turut kagum dan menyifatkan JDT 'bernasib baik' kerana memiliki kemudahan latihan yang canggih berbanding kemudahan beberapa kelab ternama Eropah. Chan berkata situasi di Eropah adalah berbeza kerana kebanyakan kelab hanya mempunyai kemudahan yang 'usang' disebabkan telah beroperasi terlalu lama. "Malah, gelanggang latihan kami sendiri sudah ada sejak lebih daripada 20 tahun dan kami sedang melihat bagaimana untuk meningkat dan memperbesarkannya,"kata Chan sambil menambah lawatan ke JDT membolehkannya melihat peluang untuk kedua-dua pasukan meningkatkan persembahan mereka. Chan tiba di sini kira-kira pukul 11 pagi, ditemani beberapa pegawai teknikal dan pemasaran Valencia CF serta pegawai La Liga termasuk ketuajurulatih pasukan, Pako Ayestaran dan lima pemainnya iaitu Matthew Ryan, Santiago Mina, Jaume Domenech, Javi Fuego dan Paco Alcacer. Kelima-lima pemain itu kemudian menjalani latihan selama sejam bersama pasukan JDT sambil disaksikan pemilik kelab Harimau Selatan Tunku Mahkota JohorTunku Ismail Sultan Ibrahim. Sementara itu, Pengarah Pemasaran Komersial Valencia CF Peter Draper berkata, JDT telah melakukan tugas yang cemerlang melalui penyediaan beberapa kemudahan termasuk stadium baharu dan akademi latihan bagi memperkasakan industri sukan di wilayah ini. "Saya baru tiba di sini dan apa yang saya nampak cukup hebat. Mereka telah melakukannya dengan baik dan saya rasa kami boleh membantu mereka lagi," katanya. Penyerang JDT Mohd Safee Sali berkata berlatih bersama kelab ternama itu merupakan satu peluang yang diidamkan semua pihak, malah beliau turut optimis, ia mampu memberi sesuatu yang signifikan kepada pengurusan dalam membangunkan bola sepak Johor. "Mentaliti mereka sejak kecil adalah berbeza, begitu juga pembangunan sukan dan kematangan mereka. Malah, kita mengalami situasi yang berlainan ketika dalam latihan tadi, namun saya yakin kita boleh memperbaikinya," jelas beliau. -Bernama