PEMAIN Atletico Madrid, Saul Niguez menepis tanggapan bahawa Atletico akan turun pada final Liga Juara-Juara berdepan Real Madrid dengan misi balas dendam. Dia yang baharu menyambung lima tahun kontrak bersama kelab itu berkata, perlawanan tersebut adalah tentang mencipta sejarah kerana jika Atletico menjadi juara dalam perlawanan 28 Mei ini, mereka akan menjadi juara baharu. Ini kerana, kelab ini tidak pernah memenangi kejohanan berprestij antara kelab-kelab Eropah sebelum ini. Ketika final dua tahun lalu, di Stadium Da Luz, Lisbon, Portugal, Atletico sempat mendahului terlebih dahulu tetapi akhirnya kalah 1-4. Niguez mengakui bahawa Madrid memang lebih hebat tetapi jika mereka berjaya menjadi juara, maka mereka adalah lebih hebat. Tambahnya, Los Blancos perlu menunjukkannya kehebatan mereka di padang. "Jika Real Madrid adalah pasukan yang hebat, mereka harus membuktikannya di padang," katanya, memetik Radio Marca. "Final di Milan kali ini bukanlah perlawanan ulangan di Lisbon, ini juga bukan soal balas dendam, ini soal mencipta sejarah. "Kami tahu Madrid adalah pasukan hebat. Perlawanan akan menjadi sukar, tapi kami hanya memikirkan tentang bagaimana untuk menang," katanya. Atletico layak ke final setelah menyingkirkan Barcelona dan Bayern Munich di babak suku akhir dan separuh akhir. Ini membuatkan mereka dinilai mempunyai peluang seimbang dengan Madrid untuk menang di final.