suria

Isu Kekuatan Mental, Kecergasan 'Serang' Skuad Negara

Morten Frost Hansen

KUNSHAN: Kekuatan mental dan kecergasan sebagai punca kegagalan skuad negara terkandas di separuh akhir Piala Thomas 2016 merupakan alasan remeh memandangkan barisan yang diturunkan kali ini adalah lebih baik berbanding edisi lepas di New Delhi.

Kekalahan tipis 3-2 kepada juara Eropah, Denmark, pada Jumaat, menyaksikan Malaysia gagal untuk sekurang-kurangnya menyamai pencapaian dua tahun lalu di New Delhi apabila mara sehingga ke final sebelum tewas kepada Jepun 2-3.

Namun, alasan kekuatan mental dan kecergasan pemain merungkai kelemahan program latihan dan latihan mental yang diterapkan kepada pemain.

Justeru, jurulatih yang mengendalikan program latihan yang dipimpin oleh Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen, harus bertanggungjawab atas kegagalan skuad negara.

Frost, bekas juara All-England, dan pernah menjadi Pengarah Kejurulatihan BAM pada 1997 hingga 2000, sepatutnya lebih arif dan mengatasi permasalahan yang timbul sebelum kejohanan bermula.

Memegang jawatan baharu sejak Mac tahun lepas, Frost, anak kelahiran Denmark, sepatutnya perlu lebih bersedia menangani masalah pemain termasuk aspek persediaan psikologi pemain apabila menentang pasukan benua Eropah.

Frost sekadar menyatakan Malaysia akur Demark pasukan yang lebih baik pada separuh akhir sudah pasti menimbulkan persoalan mengenai kompetensinya dalam pemilihan barisan jurulatih serta keberkesanan program latihan.

Pengurus pasukan Piala Thomas, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria meminta maaf kepada rakyat Malaysia kerana gagal mengakhiri kemarau kejuaraan selama 24 tahun.

Kali terakhir Malaysia bergelar juara adalah pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.

Beliau juga mengakui tahap kecergasan dan kekuatan mental telah mengecewakan skuad negara apabila gagal memanfaatkan kelebihan mendahului 2-0 dengan Denmark.

Mohamad Norza, yang juga pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM, berkata penilaian penuh terhadap para pemain akan dibuat dengan mengambil kira prestasi di Piala Thomas dan temasya Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil pada Ogos nanti.

Katanya beliau menunggu hasil laporan 'post-mortem' daripada Frost untuk merangka perancangan skuad negara untuk menghadapi saingan Piala Thomas dua tahun akan datang dan seterusnya.

Katanya BAM juga sedar bahawa mereka tidak boleh terus bergantung kepada pemain senior dan perlu mempunyai perancangan jangka panjang untuk mengetengahkan pemain-pemain terbaik negara.

Skuad negara yang mendahului 2-0 menerusi kemenangan Datuk Lee Chong Wei dan beregu Goh V Shem/Tan Wee Kiong sebelum Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang turun selaku perseorangan kedua tewas diikuti pasangan Koo Kien Keat/Tan Boon Heong, menjadikan kedudukan 2-2.

Pada perlawanan penentuan, usaha Chong Wei Feng untuk menghadiahkan mata kemenangan ke atas Emil Holst bagaimanapun gagal apabila beliau tewas, sekali gus meranapkan impian negara mara ke peringkat akhir.

Artikel Lain