suria

Popov Akui Kelemahan Pertahanan Kelantan

Velizar Emilov Popov.

KOTA BARU: Ketua jurulatih Kelantan, Velizar Emilov Popov mengaku kekalahan pasukan itu kepada Selangor dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi adalah berpunca daripada kelemahan empat pemain pertahanannya.

Jurulatih dari Bulgaria itu berkata, Kelantan bermain dengan baik pada peringkat awal tetapi pemainnya gagal mengekalkan strategi yang dirancang hingga menjejaskan keseluruhan permainan mereka.

Pasukan itu beraksi cemerlang pada sembilan minit pertama, tetapi gagal meneruskan rentak itu, di samping timbul masalah di barisan pertahanan.

"Selepas itu, Selangor mula menyerang dan keadaan ini tidak mungkin terjadi sekiranya para pemain, terutama di bahagian pertahanan, terus mengamalkan disiplin untuk menang," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu di sini malam Sabtu.

Selangor mengutip tiga mata melalui kemenangan 5-2 terhadap Kelantan itu. 

Gol 'Red Giants' diperoleh melalui jaringan Mohd Hafiz Kamal (minit ke-15), R. Gopinathan (21), Muhammad Nazmi Faiz Mansor (35), Mohd Razman Roslan (49) dan Ahmad Hazwan Bakri (88). 

Gol Pamoga Qu Puteh Red Warriors pula dijaring Blazhe Ilijoski pada minit ke-9 dan Dramane Traore (59). 

Jurultih berusia 40 tahun itu berkata, beliau akan berusaha mengatasi kelemahan pertahanan Kelantan melalui sesi latihan selepas ini.

Sementara itu, ketua jurulatih Selangor, Zainal Abidin Hassan berkata, kemenangan besar mereka terhadap Kelantan itu adalah di luar jangkaan kerana pada pertemuan sebelum ini, mereka hanya mencatat kedudukan seri, walaupun pasukan lawan beraksi hanya dengan 10 pemain.

"Bagaimanapun, pada perlawanan malam ini (malam tadi), pemain Selangor mengambil kesempatan penuh daripada kedudukan Kelantan yang hanya digerakkan 10 pemain mulai minit ke-60 apabila Wan Zaharulnizam (Wan Zakaria) diberi kad merah," katanya. - Bernama

Velizar Emilov Popov

Artikel Lain