suria

Piala Negara-Negara: Ukuran Awal Kemampuan Skuad B-22

Ketua pasukan Malaysia bawah 21 tahun, Mohamad Faris Shah Mohd Rosli (kanan) dan ketua pasukan Singapura bawah 21 tahun, Ammirul Emmran Mazlan (kiri) ketika sesi wawancara mengenai Kejohanan Bolasepak Nations Cup 2016, Isnin.

PETALING JAYA: Kejohanan bola sepak Piala Negara-Negara dari 3 hingga 5 Jun ini menjadi platform terbaik mengukur kekuatan awal skuad bawah 22 tahun (B-22) negara dalam memenuhi misi buruan pingat emas Sukan Sea 2017.

Kapten pasukan, Mohamad Faris Shah Mohd Rosli berkata kejohanan di Stadium Hang Jebat, Melaka itu memberi peluang untuk skuad itu menguji kemampuan dalam kejohanan sebenar, senario yang hampir sama dengan Sukan SEA yang diadakan di Kuala Lumpur.

"Beraksi di laman sendiri juga menjadi kelebihan buat kami untuk bermain lebih baik di hadapan penyokong sendiri.

"Keserasian bermain bersama dalam satu pasukan juga menjadi faktor untuk kami melakukan yang terbaik dan berharap mendapat sokongan penuh daripada semua pihak," kata Mohamad Faris ketika ditemui pemberita pada sidang media kejohanan di sini, Isnin.

Kejohanan Piala Negara-Negara itu membabitkan empat pasukan iaitu Vietnam, Singapura, Thailand dan Malaysia.

Malaysia akan menentang Singapura manakala Vietnam berdepan Thailand pada perlawanan pembukaan, 3 Jun ini.

Pemenang perlawanan akan terus mara ke final manakala pasukan yang kalah akan bersaing dalam penentuan tempat ketiga dan keempat, selang dua hari kemudian.

Pada masa sama, Mohamad Faris Shah mengingatkan rakan sepasukan supaya tidak memandang rendah kemampuan tiga pasukan lain yang masing-masing pasti mahu memburu kejayaan pada kejohanan yang kali pertama dianjurkan oleh syarikat pemegang hak media antarabangsa Media Partners  and  Silva (MP and Silva).

"Jurulatih (Frank Bernhardt) sentiasa ajar kami supaya berdisiplin ketika menghadapi lawan termasuk tidak memandang mudah kepada lawan," kata Mohamad Faris Shah yang beraksi di posisi pertahanan.

Artikel Berikut

Vida Sokong Gesaan Popov

Artikel Lain