LISBON: Braga memenangi Piala Portugis buat kali kedua dalam sejarah kelab itu awal pagi Isnin selepas menewaskan Porto 4-2 menerusi sepakan penalti susulan terikat 2-2 dalam perlawanan di Lisbon. Braga memanfaatkan peluang hasil kesilapan benteng pertahanan dengan mendahului dua gol hasil jaringan Rui Fonte dan Josue. Namun Andre Silva menjaringkan dua gol untuk Porto termasuklah gol penyamaan pada minit ke-91 sekali gus mengheret permainan ke masa tambahan. Beraksi dalam penuh debaran, Marcelo Goiano membantu menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan penalti selepas Hector Herrera dan Maxi Pereira kedua-duanya terlepas peluang bagi Porto. Kemenangan itu membolehkan Braga menjulang trofi mereka yang pertama sejak 1966. Kekalahan itu sekali lagi mengecewakan Porto apabila menamatkan saingan liga di tempat ketiga di belakang Benfica dan Sporting Lisbon. Lebih menyedihkan pasukan itu tidak memenangi sebarang gelaran sejak 2013.