suria

Pemain Denmark Berlatih Bersama Misbun Bukan Isu Disebalik Kegagalan Malaysia

PUTRAJAYA: Pendedahan mengenai beberapa pemain Denmark pernah berguru dengan Datuk Misbun Sidek di Kelab Badminton Nusa Mahsuri tidak harus dijadikan isu di sebalik kekalahan skuad Piala Thomas Malaysia kepada negara itu, baru-baru ini.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata adalah keterlaluan untuk mengatakan kejayaan itu hasil latihan yang diterima pemain Denmark daripada Misbun kerana mereka hanya menghabiskan masa beberapa hari bersama bekas jurulatih negara itu.

"Ia bukan satu isu kerana mereka bukannya berlatih di situ, sebaliknya cuma meluangkan masa beberapa hari bersama Misbun di kelab itu sebelum menyertai Kejohanan Terbuka Malaysia, bulan lepas.

"Saya fikir perkara ini hanya diperbesar-besarkan...mereka meluang masa beberapa hari dengan Misbun, itu tidak bermakna anda boleh mengatakan mereka berlatih di bawah beliau dan beliau adalah jurulatih mereka," katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara kementerian itu dengan Kumpulan DRB-Hicom di sini.

Beliau mengulas mengenai laporan media bahawa di sebalik kejayaan pasukan badminton Denmark menjulang Piala Thomas buat kali pertama, Ahad lepas, wujudnya 'sentuhan' Misbun yang menjadi 'guru' kepada beberapa pemain pasukan itu.

Antara pemain berkenaan termasuk wira yang menyumbang mata kemenangan Denmark, Hans-Kristian Vittinghus dan Jan O Jorgensen.

Lebih memilukan, skuad Malaysia yang diketuai jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei tumpas 2-3 di tangan Denmark di separuh akhir, sekaligus gagal mengulangi pencapaian tempat kedua di New Delhi, India, dua tahun lepas.

Mengenai andaian bahawa Misbun membantu Denmark dalam kejayaan itu, Khairy berkata Misbun bebas melatih sesiapa sahaja kerana bukan berada di bawah struktur Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Malah, katanya sebagai kelab persendirian, Nusa Mahsuri juga bebas dan boleh melatih sesiapa sahaja yang mengunjungi kelab itu jika mereka mahu berbuat demikian.

Beliau berkata isu pemain berlatih dengan pihak luar daripada persatuan bukan satu perkara besar kerana beberapa pemain Malaysia yang beraksi di Kunshan, China seperti Chong Wei Feng dan Koo Kien Keat juga datangnya dari kelab persendirian.

Dalam pada itu, Khairy berkata kenyataannya mengenai khidmat Chong Wei masih diperlukaan untuk menghadapi kejohanan Piala Thomas pada 2018 adalah lebih kepada 'pilihan taktikal' bukannya satu kemestian.

"Saya hanya menyebut beliau sebagai satu kemungkinan pilihan taktikal. Saya tidak berkata saya mahu beliau kekal...ia adalah kemungkinan pilihan taktikal, untuk perseorangan ketiga jika diperlukan, itu sahaja," katanya.

Artikel Lain