KOTA BARU: Cadangan untuk Kelantan disingkirkan ke Liga Perdana musim depan kerana gagal melunaskan tunggakan gaji lima bekas pemainnya musim lepas masih belum diputuskan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Timbalan Presiden FAM, Datuk Afandi Hamzah berkata, cadangan itu masih di peringkat rundingan antara FAM dan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dan setakat ini tiada keputusan dibuat mengenai perkara itu. "Kafa sendiri telah melakukan usaha sedaya upaya bagi menyelesaikan masalah tunggakan gaji tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kad Debit-i Visa Bank Islam Kelantan FA 'The Red Warriors' di sini, Jumaat. Pada 3 Mei lepas, media melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP), Kevin Ramalingam mencadangkan kepada FAM agar melakukan pemotongan mata kepada Kafa sekiranya persatuan itu gagal menjelaskan tunggakan gaji kepada bekas pemainnya sebelum 31 Mei ini. Kevin turut dilaporkan sebagai berkata, sekiranya Kafa masih gagal menjelaskan hutang berkenaan maka FMLLP turut mencadangkan kepada FAM agar pasukan Kelantan diturunkan ke Liga Perdana atau disingkirkan daripada Liga Malaysia. FMLLP ialah entiti swasta yang menguruskan Liga Malaysia bermula musim ini. Difahamkan, lima bekas pemain Kelantan yang belum menerima tunggakan gaji adalah Ahmad Fakri Saarani, Amar Rohidan, Muhammad Nazri Ahmad, Amiridzwan Taj Tajudin dan Mohd Fitri Omar. Kesemua pemain tersebut menamatkan kontrak mereka bersama Kafa untuk menyertai pasukan lain musim ini. - Bernama