SEMANGAT kental yang dibawa skuad Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) Bawah 14 Tahun (B-14) ke negara asing sepanjang program Jelajah Eropah 2016 membuatkan barisan anak remaja terlibat tidak mudah mengalah. Dalam tempoh singkat masa rehat sebaik sahaja tiba di Munich, Jerman pada Jumaat lalu, skuad muda negara ini terus memenuhi jadual perlawanan persahabatan pertama mereka bertemu pasukan B-16 Tahun SV Anzing. Biarpun pemain-pemain masih lagi kekok dengan keadaan cuaca serta persekitaran baharu, mereka berjaya mencatat kemenangan selesa, 5-0 ke atas pasukan lawan yang ternyata mempunyai kelebihan saiz fizikal. Menurut Pengarah Projek PPBN, Lim Teong Kim pemain-pemain memerlukan masa untuk menyesuaikan diri. “Keadaan ini perkara normal kepada sesiapa sahaja. Mereka perlu sedikit masa untuk membiasakan diri dengan cuaca, keadaan permainan serta persekitaran di sini. Namun mereka sangat bermotivasi untuk bermain, berjuang dan menang sehingga ke wisel penamat. “Kami banyak mencipta peluang dan hanya lima gol sahaja yang terlepas. Sepatutnya perlawanan ini kami mampu menjaringkan sepuluh atau 13 tanpa balas,” jelasnya ketika dihubungi mStar Online menerusi aplikasi WhatsApp pada Isnin. Sementara itu, pada aksi kedua, skuad muda DNA bola sepak negara ini berjaya mengikat seri tanpa jaringan ke atas pasukan remaja dari salah sebuah akademi moden bola sepak terbaik dunia, Red Bull Salzbury. Sebagai rekod, pada rombongan Jelajah Eropah B-13 tahun lalu, skuad negara berjaya membenam pasukan muda kelab Austria itu dengan jaringan 5-0. Namun, dalam bola sepak rekod kemenangan sentiasa akan berubah berdasarkan pelbagai faktor. Jelas Teong Kim, musim ini Red Bull telah memanggil pemain-pemain baharu dan telah mengimbangkan skuad mereka. “Pun begitu, kami juga turut mencipta banyak peluang gol. Pada separuh masa pertama, kami mendapat tiga cubaan terbaik dengan seratus peratus peluang gol, manakala babak kedua mereka melepaskan empat peluang gol. “Kami tidak bermain dengan baik ketika mendapat bola, terlalu banyak kesilapan dalam hantaran, namun mereka bertahan sebagai satu pasukan. “Saya yakin kami boleh menang jika menggunakan semua peluang yang ada itu,” ujarnya. Dalam pada itu, Teong Kim berkata, pemain-pemain ini perlu membuang perasaan rendah diri (inferiority complex). “Pemain-pemain baharu masih lagi ada sikap tidak percayakan diri sendiri serta tiada keyakinan. Mereka perlu mengubah sikap itu dan bersaing untuk berada dalam senarai barisan utama pemain,” tambahnya. Selain itu, skuad muda ini akan meneruskan aksi persahabatan ketiga menentang pasukan Inter Milan pada Selasa.