PEMAIN Real Madrid, Dani Carvajal, disahkan tidak akan bermain untuk Euro 2016 setelah kaki kanannya cedera ketika bermain di final Liga Juara-Juara. Carvajal berkata dia sangat kecewa dengan nasib malangnya itu yang membuatkan dia gagal membantu pasukan kebangsaannya, Sepanyol di Euro 2016. "Dua minggu terakhir saya memang dapat merasakannya ketika membuat persediaan untuk babak final (Liga Juara-Juara menenatang Atletico Madrid). Sakit ini masih saya rasakan hingga babak pertama berakhir," kata Carvajal dalam satu wawancara bersama radio Cadena Cope. "Di babak kedua, saya tak mampu lagi menahan rasa sakit," tambahnya. "Saya harus meninggalkan padang dan ketika itu saya sedar bahawa saya mungkin tidak boleh turun bermain di Piala Eropah," katanya. Carvajal pertama kali membantu Sepanyol pada Ogos 2014 dan sudah lima kali diturunkan oleh jurulatih pasukan kebangsaan. Empat tahun lalu Sepanyol menjuarai saingan antara negara-negara Eropah ini dan pada kejohanan tahun ini Sepanyol berada di Kumpulan D, bersama Republik Ceko, Turki, dan Croatia.