suria

Lionel Messi Hadir Di Mahkamah Beri Keterangan Kes Tipu Cukai

BARCELONA: Pemain bola sepak terbaik dunia sebanyak lima kali, Lionel Messi tiba di sebuah mahkamah di Barcelona pada Khamis untuk memberi keterangan terhadap tuduhan mengelak bayaran cukai.

Beberapa orang yang lalu-lalang memberi tepukan kepada pemain Argentina dan Barcelona FC itu ketika dia hadir, malah ada yang bersorak kepadanya.

Ini berbeza apabila dia muncul di mahkamah tempatan pada 2013 untuk memberi keterangan, di mana tidak ada penyokong Barcelona yang hadir.

Messi dan bapanya, Jorge Horacio Messi, memasuki mahkamah dengan segera tanpa bercakap dengan wartawan.

Perbicaraan bermula pada Selasa, tetapi Messi terlepas hari pertama dan kedua, di mana dia tidak diwajibkan untuk hadir atas alasan kecederaan bahagian belakang yang dialami ketika perlawanan persahabatan menentang Honduras Jumaat lalu.

Lionel dan Jorge Horacio Messi dituduh oleh pejabat cukai Sepanyol menipu kerajaan sebanyak 4.2 juta euro ($4.7juta) di antara 2007 dan 2009.

Mereka berdepan hukuman penjara sehingga 22 bulan jika didapati bersalah.

Pendengaran pada Selasa menunjukkan bahawa pejabat cukai Sepanyol membuat 20 pemeriksaan terhadap Messi dalam tempoh siasatan tiga tahun.

Pejabat cukai Sepanyol juga telah mula menyiasat hal kewangan rakan sepasukan Messi, Neymar Jr, Javier Mascherano dan Adriano.

Messi berpindah ke Barcelona dari tempat kelahirannya Rosario, Argentina pada tahun 2000, menjadi warganegara Sepanyol pada tahun 2005.

Majalah Forbes menyenaraikan Messi di kedudukan ke-10, dalam senarai atlet pendapatan tertinggi di dunia sepanjang dekad yang lalu, dengan pendapatan dianggarkan sebanyak $350 juta.

Messi telah menjaringkan 453 gol dalam 531 penampilan bersama Barca dalam semua pertandingan.
Lionel Messi, tipu cukai

Artikel Lain