KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei semakin hampir meraih gelaran perseorangan Terbuka Indonesia untuk kali keenam selepas melepasi halangan separuh akhirnya di Istora Senayan, Jakarta pada Sabtu. Chong Wei tidak berdepan banyak masalah untuk mengetepikan cabaran pemain tuan rumah, Ihsan Maulana Mustofa apabila menang pertarungannya 21-9, 21-18 dalam masa 39 minit. Di final pada Ahad, Chong Wei akan menentang Jan O Jorgensen dari Denmark yang menewaskan pemain China, Tian Houwei 21-14, 18-21, 21-17. Pertemuan terakhir antara Chong Wei dan Jorgensen adalah di Terbuka Malaysia April lepas yang berpihak kepada Chong Wei, sekali gus melebarkan rekod kemenangannya ke atas lawan dari Denmark itu kepada 15 daripada 16 pertemuan mereka sejak 2009. Chong Wei kali pertama muncul juara di Terbuka Indonesia pada 2007, sebelum menang tiga kali berturut-turut dari 2009 hingga 2011, dan 2013. Kejayaan di Terbuka Indonesia membolehkan Chong Wei merampas kembali ranking nombor satu dunia daripada juara dunia, Chen Long dari China, kedudukan yang terlepas daripadanya berikutan penggantungan lapan bulan akibat kesalahan doping sebelum kembali beraksi Mei tahun lepas. Terdahulu, beregu wanita negara, Vivian Hoo Kah Mun-Woon Khe Wei gagal meneruskan kemaraan selepas tewas kepada pilihan ketiga, Tang Yuanting-Yu Yang dari China 15-21, 9-21. Di final, pasangan China itu akan menentang beregu Jepun Misaki Matsumoto-Ayaka Takahashi yang mara selepas menundukkan Eefje Muskens-Selema Peak dari Belanda 1-10, 21-18. - BERNAMA