SELEPAS sotong kurita, kura-kura dan gajah, kini beruang koala yang diberi nama Oobi-Ooobi bakal tersenarai sebagai peramal bagi setiap perlawanan melibatkan Jerman sepanjang Euro 2016, bermula 10 Jun ini. Tugasan pertamanya dijadualkan pada 12 Jun ini ketika Jerman bertemu Ukraine. Bagaimanapun, setakat ini Zoo Leipziq, Jerman itu masih belum menyatakan bagaimana cara koala itu akan melakukan ramalan. Agensi Berita DAP melaporkan, haiwan itu dipercayai boleh bersikap neutral dan adil kerana Oobi- Ooobi bukan berasal daripada Jerman sebaliknya Australia. “Sebagai haiwan daripada Australia, Oobi-Ooobi boleh memberikan pandangan yang neutral terhadap pasukan yang bertanding dalam Euro kali ini dan tidak hanya memihak kepada Jerman,” kata petugas di zoo berkenaan. Oobi-Ooobi yang tiba April lalu di Leipziq berjaya mencuri hati pengunjung di zoo berkenaan. Beruang koala dengan telinga bulat dan hidung hitamnya yang besar sering kali dilihat tidur untuk tempoh lama iaitu sehingga 20 jam sehari dan makanan utamanya adalah daun pokok kayu putih atau eucalyptus. Sebelum ini, seekor sotong kurita diberi nama Paul menjadi terkenal ekoran ramalan yang bernasib baik tepat pada Piala Dunia 2010 lalu.